Melaka mohon dana RM2 juta tambah kolam udang

Melaka mohon dana RM2 juta tambah kolam udang

FAIRUL NIZAM Roslan (kiri) menunjukkan udang putih ketika melakukan lawatan kerja di ZIA Sempang, Merlimau, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Bioteknologi Melaka (MBC) memohon peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan menambah jumlah kolam ternakan udang di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sempang, Merlimau di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, peruntukan itu akan membantu menyokong program sekuriti makanan pada masa depan.

Kata beliau, buat masa ini terdapat 17 kolam ternakan udang putih dan udang harimau di ZIA dan merancang untuk menambah enam kolam lagi sekiranya permohonan tersebut diluluskan.

“Permohonan telah dihantar untuk dipertimbangkan. Kalau Menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu) dapat tambah, saya rasa untuk program ini kita boleh perluaskan lagi kolam udang pada tahun depan.

“Ketika ini terdapat 10 kolam udang putih dan tujuh kolam udang harimau yang dikendalikan MBC. Kita merancang menambah enam lagi kolam di atas tanah seluas 2.4 hektar yang masih belum dibangunkan.

“Di samping itu kita akan meneroka ternakan-ternakan baharu seperti ikan sebagai usaha menyokong program sekuriti makanan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kolam ternakan udang milik MBC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai kemajuan projek ternakan udang, Fairul Nizam berkata, jualan udang bagi tempoh Januari hingga September lalu berjumlah hampir RM1 juta.

Menurutnya, projek tersebut mula memberikan impak positif kepada perolehan syarikat milik kerajaan negeri itu selepas bergelut pada 2020 akibat pandemik.

“Jika kerajaan Persekutuan memberikan dana tambahan kepada MBC, pasti kita boleh hasilkan lebih banyak udang. Udang ini kita pasarkan di Melaka dahulu tapi ada juga pemborong yang ambil untuk pasaran luar.

“Selain itu, kita kembangkan lagi (potensi) dengan minta MBC menyertai Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah. Orang ramai juga boleh membeli udang ini pada harga lebih murah berbanding pasaran pada setiap Jumaat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya