BATU KAWAN: Tiga sekeluarga antara 19 penduduk di Pulau Aman dekat sini, yang memperbaharui kad pengenalan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri di pulau tersebut.
Yusoff Said, 79, berkata, dia dibawa ke dewan komuniti pulau terbabit oleh dua cucunya, Muhammad Ammar Hazmi, 22, dan Mohamad Ramadhanni Abdullah,12, untuk menguruskan permohonan pembaharuan dokumen pengenalan diri masing-masing.
Katanya, dia tidak berupaya untuk ke pejabat JPN di Jawi, Nibong Tebal ekoran masalah kesihatan yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sudah tidak larat untuk ke darat (seberang) sebab kini berkerusi roda, susah hendak naik bot, kemudian perlu menaiki kereta pula untuk ke sana.
“Kami bersyukur kerana pihak JPN membantu memudahkan penduduk setempat untuk perbaharui kad pengenalan dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Zulkplee Yusoff berkata, rata-rata penduduk menyambut baik perkhidmatan yang disediakan JPN tersebut.
“Kalau nak diikutkan, penduduk terpaksa menghabiskan masa seharian semata-mata untuk memperbaharui kad pengenalan, malah perlu menempah perkhidmatan e-hailing sebaik tiba di jeti untuk ke pejabat JPN.
“Usaha JPN ini ternyata memudahkan dan diharapkan program seumpama ini dapat diadakan lagi memandangkan terdapat segelintir nelayan yang tidak sempat ke sini kerana belum pulang dari laut,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendaftaran JPNPP, Mohd. Samsul Ariffin Ahmad Zawawi berkata, secara keseluruhan pihaknya menerima 17 permohonan gantian kad pengenalan dan dua permohonan kad pengenalan kali pertama bagi individu berusia 12 tahun.
“Program ini diadakan bersempena Hari Pendaftaran Negara yang ke-75 dan kita dekati rakyat untuk membantu terutamanya warga emas yang memerlukan.
“Kita turun padang untuk mudahkan mereka dan program ini turut dilangsungkan atas permintaan komuniti setempat,” katanya.
Tambah beliau, hampir 20 kakitangan termasuk pasukan Mekar dan JPN Jawi hadir bagi menjadi pemudahcara buat penduduk setempat menikmati perkhidmatan yang disediakan. – UTUSAN