ALOR SETAR: Seorang mahasiswa mencipta rekod sebagai individu pertama di negara ini yang menulis esei sambil menyelam pada kedalaman lima meter sehingga diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).
Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi, 20, mencatat rekod tersebut dengan menulis karangan sepanjang 350 patah perkataan dalam tempoh sejam 34 minit di Pusat Akuatik Kedah, Gunung Keriang, hari ini.
Menurut mahasiswa semester enam, Diploma Pengurusan Pejabat Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar itu, langkah mencipta rekod berkenaan bagi mencipta inovasi dalam bidang selaman selain menggalakkan golongan muda menceburi aktiviti tersebut.
“Pada mulanya saya bercadang untuk mencatat rekod ini di laut tetapi disebabkan faktor keselamatan selain cuaca tidak menentu ketika ini, maka kami mengubah rancangan ke kolam. Dalam tempoh 20 hingga 30 minit pertama, segalanya berjalan lancar namun selepas itu, saya mula kesejukan ketika berada di perenggan ketiga.
“Selain itu, saya juga berdepan kesukaran menulis kerana turut perlu menjaga buoyancy (keapungan) di dalam air. Namun Alhamdulillah, saya dapat juga menyelesaikan cabaran ini dan menunaikan janji kepada pihak pengurusan kolej bagi memastikan sijil MBOR diperolehi,” katanya ketika ditemui selepas melaksanakan misi tersebut.
Bagi menghasilkan rekod itu, Ahmad Fudhail menulis menggunakan pen dan buku kalis air yang biasa digunakan penyelam ketika melaksanakan aktiviti berkenaan dan menganggap rekod yang dicipta itu sebagai permulaan ke arah mencipta pencapaian lebih besar.
“Selepas ini saya bersama pasukan mungkin akan buat perancangan untuk mencipta rekod dunia pula. Setakat ini kami mula memikirkan untuk menyelam selama tiga hari berturut-turut secara berganti-ganti dengan melakukan aktiviti tertentu,” katanya.
Sementara itu, pengarah projek yang juga Pensyarah Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Jamilatul Husna Ramli memaklumkan, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap sebarang usaha yang mahu dilakukan mahasiswa di bawah didikan mereka.
“Inisiatif ini sebenarnya datang dari Ahmad Fudhail sendiri. Saya selaku penasihat program kemudiannya mengusulkan cadangan itu kepada Pengarah, Mudzir Mohamad dan pihak pengurusan kemudiannya memberi kelulusan serta sokongan penuh.
“Pemilihan tajuk esei iaitu ‘Kepentingan Pembangunan Personaliti Kepada Graduan’ sememangnya cukup rapat dengan salah satu subjek yang terdapat dalam subjek kami. Kami bersyukur kerana usaha dan impian Ahmad Fudhail ini berjaya dilaksanakan,” katanya.
Pengiktirafan oleh MBOR disahkan oleh pegawainya, Siti Nurhanim Mohd. Noh yang turut menyaksikan misi tersebut sejak awal. –UTUSAN