SHAH ALAM: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menafikan beliau dicadangkan untuk menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas penyandangnya Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara pada 12 Oktober lalu.
Malah, Pengerusi Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam (IAIS) itu menjelaskan tidak pernah memohon jawatan tersebut yang diketahuinya perlu melalui proses berkenaan termasuk saringan dan temuduga.
“Saya menerima jujutan ucapan tahniah, pertanyaan dan juga saranan kerana artikel di bawah (Siapa bakal terajui UiTM). Menurut artikel tersebut nama saya dicadangkan untuk menerajui UiTM selepas tempoh VC (Naib Canselor) universiti berkenaan tamat beberapa hari lalu.
“Sejujurnya saya tidak tahu dari mana datang khabar angin ini, dan bagaimana ia boleh muncul. Sepengetahuan saya jawatan NC atau VC mestilah melalui permohonan, saringan dan juga temuduga. Saya tidak pernah dan tidak terlintas di dalam benak fikiran untuk memohon jawatan tersebut.
“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada pemberita yang telah membawa berita ini kerana beliau telah menyebabkan ramai rakan-rakan saya yang lama menyepi kini mula berhubung dengan saya kembali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Maszlee yang juga merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu antara 11 nama yang disebut-sebut untuk dicadangkan sebagai Naib Canselor UiTM Ke-7.
Selain beliau, nama lain yang dicadangkan dipercayai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Bekas Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPT, Prof. Datuk Dr. Nasrudin Mohamad serta Naib Canselor dan Presiden Universiti Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman juga menjadi perhatian warga UiTM.
Dalam pada itu, Maszlee bagaimanapun berharap sesiapapun yang dipilih sebagai Naib Canselor universiti tersebut akan meneruskan agenda pendidikan tinggi bumiputera dan negara.
“Buat UiTM, teruslah menerajui pendidikan tinggi untuk membawa agenda bumiputera dan negara, agar Malaysia yang kita cintai ini menjadi negara berpendidikan, maju, bertamadun dan kaya dengan nilai-nilai murni,” ujarnya. – UTUSAN