GUA MUSANG: Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum menghantar bantuan atau mengadakan program di perkampungan Orang Asli yang terjejas ketika musim tengkujuh.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) Jakoa, Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata, perbincangan bersama agensi setempat telah mempersetujui semua penyelarasan bantuan perlu dilakukan oleh Jakoa.
Sehubungan itu katanya, Jakoa memohon semua pihak akur dengan arahan tersebut.
“Arahan ini berkuat kuasa serta-merta selepas perbincangan dilaksanakan kerana kita mengambil kira keadaan yang berlaku sekarang apabila terlalu ramai yang memasuki kawasan kampung menyebabkan tanah dan jalan menjadi rosak.
“Keadaan ini menyukarkan penduduk kampung. Kita berbincang dan bersetuju secara sebulat suara pada peringkat lapangan untuk menguatkuasakan arahan tersebut kerana ingin menjaga kebajikan Orang Asli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Saiful Zahlan berkata, menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan, Jakoa bersiap sedia untuk memberi bantuan bakul makanan ke kawasan kampung Orang Asli yang terjejas dengan bencana.
Katanya, bantuan makanan diselaraskan dengan agensi berkaitan agar penduduk yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya.
Sebelum ini, Jakoa mengumumkan kemasukan bagi sebarang tujuan ke Pos Gob di sini mesti mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jakoa kerana kerosakan jalan menyebabkan kerja-kerja pembinaan jambatan dan pembaikan jalan oleh JKR Kesedar tergendala.
Keadaan dan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan di samping menyukarkan dan mengganggu rutin harian masyarakat setempat. – UTUSAN