PETALING JAYA: Sebuah masjid yang terletak di wilayah bergolak Gaza, Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah keseluruhannya apabila menjadi sasaran bedilan tentera rejim Israel dalam serangan udara pada Sabtu lalu.
Badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia Society dalam satu hantaran di Facebook miliknya berkongsikan beberapa keping gambar terkini keadaan Masjid Muhammad Al Amin yang kini rebah menyembah bumi.
Menurut hantaran itu, masjid tersebut dibangunkan hasil dana disumbangkan rakyat Malaysia pada penghujung tahun 2013 lalu.
“Penghujung tahun 2013, Muslim Care Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah masjid luas dan cantik untuk rakyat Palestin.
“Malangnya semua hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, 7hb Oktober (kelmarin), Masjid Muhammad Al Amin ini musnah keseluruhannya dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.
Muslim Care antara NGO tempatan yang aktif mengumpul dana membantu kepada rakyat Palestin berkata, walaupun keadaan masjid itu kini sudah hancur namun semangat jihad orang Islam tidak akan pernah pudar.
“Sebagaimana kuatnya jiwa pejuang saudara kita di Palestin, begitu jugalah teguhnya hati-hati kita semua akan terus bersatu. Lebih banyak bantuan dan dana akan kita salurkan sebagai tanda sokongan kita kepada saudara kita di Palestin.
“Tembakan doa dan munajat antara yang juga sedang sangat diperlukan. Teruskan berdoa dan bermunajat. Semoga kemenangan besar untuk Islam. Insya-Allah,” katanya.
Awal pagi Sabtu lalu, Hamas menerusi Brigade Al-Qassam dan Al-Quds membuat serangan mengejut apabila melancarkan kira-kira 5,000 roket ke arah tanah haram Israel selain menyusup masuk ke beberapa daerah di negara itu yang menempatkan penempatan haram rakyat rejim tersebut.
Operasi yang dinamakan sebagai ‘Taufan Al-Aqsa’ itu dianggap kejayaan besar apabila mengejutkan tentera rejim Israel yang dikatakan memiliki teknologi ketenteraan antara terbaik di dunia.
Sebagai membalas serangan itu, Israel pula melancarkan Operasi Pedang Besi’ dengan serangan dari pelbagai arah yang kebanyakannya menyasarkan penempatan orang awam di Gaza.
Setakat ini, lebih 300 rakyat Palestin disahkan maut manakala ribuan lagi tercedera dalam serangan rejim Zionis tersebut. – UTUSAN