PADA 20 tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan mengenai Masjid Tun Abdul Aziz, yang berupaya membayar gaji kakitangannya sendiri tanpa bantuan pihak lain.
Daripada segi fizikalnya masjid ini serupa dengan ribuan masjid lain di seluruh negara, namun yang berbeza sikit daripada masjid lain ialah daripada segi pengurusan dan pentadbiran kewangannya.
Menurut Imam masjid, Ab. Rashid Abdullah, pengurusan masjid berkenaan mempunyai kaedah dan formula dalam pentadbiran, sehingga mampu melantik seramai 22 staf.
Sebanyak RM40,000 sebulan diperuntukkan untuk bayaran gaji, termasuk potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans takaful setiap pekerja.
“Selain menerima derma dan sumbangan daripada orang tertentu, masjid turut menjana pendapatan dengan menyewakan beberapa buah kedai seperti kafe dan kedai gunting rambut.
“Pihak masjid turut giat menjalankan aktiviti lain bagi menampung dana seperti perkhidmatan kumpulan marhaban serta mempunyai premis lain yang diwakafkan atas nama masjid.
“Staf itu melibatkan imam, bilal, siak, bahagian pentadbiran dan petugas harian yang mempunyai pejabat serta beroperasi seperti premis kerajaan lain,” katanya.
Dalam kunjungan ke masjid terletak di Seksyen 14, Petaling Jaya baru-baru ini, premis tiga tingkat itu kelihatan lebih canggih dengan wajah baharunya lebih moden.
Membolehkan aktiviti kebajikan bergerak meluas dan tidak terhad kepada ahli kariah semata-mata, pihak masjid turut menubuhkan Yayasan Semesta Berdaftar (YSB) yang berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Yayasan yang ditubuhkan sejak sedekad lalu bertujuan menganjurkan pelbagai program pendidikan dan kesihatan kepada golongan yang memerlukan.
“Selain itu ia turut berperanan dalam mencari dana, menampung gaji petugas masjid sekiranya tidak mencukupi serta pelaksanaan aktiviti lain,” kata Ab. Rashid yang berkhidmat di situ sejak 14 tahun lalu.
RUMAH JENAZAH
Masjid ini diubahsuai pada penghujung 2019 tanpa mengubah struktur asalnya. Ia melibatkan menaik taraf tandas wanita dan lelaki, tempat wuduk, rumah pengurusan jenazah serta pembesaran dewan solat utama dengan kos mencecah RM5 juta.
Rumah pengurusan jenazah di tingkat dua premis, dilengkapi ruang menunggu lebih luas dan selesa kepada ahli keluarga.
Malah, Ab. Rashid berkata, perkhidmatan pengurusan jenazah juga tidak terhad kepada ahli kariah semata-mata.
“Perkhidmatan ini terbuka kepada orang luar termasuk pengurusan dan penghantaran jenazah ke mana-mana lokasi.
“Setakat ini, kita banyak bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” kongsinya.
SEJARAH MASJID
Dikenali sebagai masjid bulat, pembinaan rumah ibadat ini bermula awal 1960an. Ketika itu, ia hanyalah sebuah bangunan kecil bertaraf surau.
Arkitek bertanggungjawab mereka bentuk masjid itu ialah John Ho dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Difahamkan, ia masjid pertama di negara ini dibina berbentuk bulat. Praktikal dan bersesuaian dengan keluasan tanah ketika itu.
Kerja-kerja pembinaan bermula sejak Mac 1973 dan siap sepenuhnya pada September 1976.
Nama masjid ini dipilih sempena nama bekas Menteri Besar Selangor kelima, Allahyarham Tun Abdul Aziz Abdul Majid yang dilantik pada 1955.