Mapim lancar Tabung Kemanusiaan Palestin negeri Perak - Utusan Malaysia

Mapim lancar Tabung Kemanusiaan Palestin negeri Perak

MOHD. Azmi Abdul Hamid (tengah) pada pelancaran Tabung Kemanusian Palestin Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin negeri Perak untuk rakyat negeri ini menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan penduduk di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.

Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyasarkan RM1 juta sumbangan akan berjaya dikumpul dalam masa sebulan menerusi tabung tersebut.

Menurutnya, sumbangan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan agensi berkaitan.

“Kita sasarkan RM1 juta sumbangan daripada rakat negeri ini untuk dikumpul dalam masa satu bulan dan akan segera dihantar ke Gaza.

“Kami akan menggerakkan pelbagai usaha untuk menyampaikan bantuan ke Gaza dalam bentuk makanan, ubatan dan pakaian termasuk wang tunai,” katanya.

Beliau melancarkan Tabung Kemanusian Tabung Palestin Negeri Perak di Bangunan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds, Dr. Sharef A.M. Abu Shamalla.

Menurut Mohd. Azmi, tabung ini adalah lambang solidariti rakyat Perak menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, jika setiap warga Perak menyumbang RM10 seorang, dana daripada tabung itu dapat mengumpulkan sumbangan yang besar untuk disalur kepada mangsa perang di Gaza dengan segera.

“Kita akan letak tabung ini di masjid-masjid di negeri ini bagi memudahkan orang ramai menderma dan menyeru orang ramai untuk membantu saudara Muslim kita di Gaza,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, pihaknya akan bekerjasama dengan Yayasan Al-Quds Malaysia untuk memastikan sumbangan yang disalurkan sampai ke Gaza.

Katanya, orang ramai juga boleh memberikan sumbangan yang disalurkan melalui akaun CIMB Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia iaitu 8604556678. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN