Mangsa ribut terharu terima kunjungan Agong

Mangsa ribut terharu terima kunjungan Agong

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (duduk, tengah) bersama keluarga satu-satunya mangsa ribut Kampung Rantau Panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Satu-satunya mangsa ribut di Kampung Rantau Panjang berasa terharu apabila Yang DiPertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menziarah rumah mereka, hari ini.

Norhayati Ismail, 57, berkata, dia tidak menyangka akan menerima kunjungan baginda yang turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada dirinya sekeluarga. 

Baginda turut diiringi Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Ir. Razali Kassim.

Bercerita lanjut tentang kejadian ribut yang berlaku pada Isnin lalu, Norhayati berkata, ini merupakan kejadian pertama kali menimpa dirinya dan keluarga sejak sekitar 30 tahun menetap di situ.

Katanya, ketika kejadian, dia yang bekerja sebagai tukang cuci baru sahaja pulang dari tempat kerjanya di Kolej Komuniti Rompin. 

“Ketika itu sekitar jam 4.30 petang memang kebiasaan saya akan letak motosikal saya dekat rumah emak saya yang berada pada jarak sekitar 10 meter dari rumah saya.

“Sedang elok sampai, hujan turun dengan lebat dan berlaku ribut yang luar biasa. Dari rumah emak, saya nampk atap rumah saya berlipat terkena ribut,” katanya.

Menurutnya lagi, sebaik hujan dan ribut semakin reda, dia terus pulang ke rumahnya untuk melihat keadaan rumah dan anaknya.

“Saya jerit panggil anak saya. Anak saya kata dia tidak sedar kejadian kerana sedang tidur berikutan tidak sihat.

“Saya tengok ruang hadapan rumah rosak teruk dan air melimpah ke dalam rumah. Saya anggarkan kerugian adalah sekitar RM10,000,” katanya.

Norhayati dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan pihak penghulu kerana bertindak pantas membantu dia sekeluarga.

“Terima kasih kepada penghulu dan ketua kampung serta kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menyampaikan sumbangan membaiki rumah saya dan barangan keperluan,” katanya.

Norhayati yang kini menumpang di rumah ibunya memberitahu rumahnya dijangka akan siap dibaik pulih pada 14 Oktober nanti.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan MUIP kepada 143 penerima dari Kampung Leban Chondong, Kampung Gading, Kampung Tebu Hitam, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Bangkong bertempat di Dewan Serbaguna Orang Ramai Kampung Leban Chondong, di sini, hari ini.

Kesemua penerima sumbangan terbabit terdiri dari golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas dan saudara bahari masyarakat Orang Asli di mana kesemua mereka merupakan penerima bantuan zakat bulanan MUIP. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya