IPOH: Bilangan mangsa banjir di Perak merekodkan peningkatan apabila 305 orang daripada 90 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat pukul 2 petang ini.
Jumlah tersebut meningkat daripada 268 orang daripada 84 keluarga yang berada ke tiga PPS iaitu dua di daerah Hilir Perak dan sebuah di Kerian, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerunai pada pukul 10.15 malam tadi di mana seramai 59 penduduk daripada 12 keluarga yang terjejas banjir ditempatkan di sana.
Katanya, kampung yang terlibat ialah di Kampung Pahat Dalam, Kampung Pahat Luar, Kampung Tanjung Kekabu, Kampung Star Kecil, Kampung Kerunai, Kampung Kota, Kampung Dusun, Kampung Padang Stang dan Kampung Padang Langgar.
“Setakat ini, tiga PPS masih dibuka iaitu dua di Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap selain satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Kerian.
“Jumlah mangsa banjir di ketiga-tiga PPS tersebut masih kekal,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN