Malaysia, UK pupuk kerjasama sains global

Malaysia, UK pupuk kerjasama sains global

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK) memupuk kerjasama sains global yang bertujuan mengukuhkan profil penyelidikan antarabangsa.

 Ia sekali gus menyatukan kepakaran dalam bidang sains, teknologi dan industri dari kedua-dua negara untuk memacu kemajuan ekonomi serta kesejahteraan sosial.

 Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Persidangan Kecerdasan Buatan United Kingdom-Malaysia (UK-MY AI Conference) adalah bagi memupuk jalinan kerjasama dan diplomasi teknologi yang lebih kukuh antara UK dan Malaysia.

Kata beliau, ia sekali gus menggalakkan perkongsian ilmu terutama dalam bidang kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai Artificial Intelligence (AI) di samping menyediakan platform dialog terbuka bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pembangunan tadbir urus, standard dan piawaian AI antarabangsa yang inklusif dan bertanggungjawab.

 “Platform perbincangan seperti persidangan ini menjadi pemangkin kepada transformasi positif dalam perkembangan AI di Malaysia dan melakarkan hala tuju baharu ke arah pasaran yang lebih luas selain mentransformasikan Malaysia daripada negara yang menggunakan teknologi kepada negara yang membangunkan teknologi.

 “Penggunaan teknologi AI memerlukan visi strategik yang mengimbangi inovasi dengan pertimbangan etika dengan memastikan faedah tersebut boleh diakses oleh semua negara,” katanya semasa merasmikan persidangan itu di Connexion Conference and Event Centre Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Fadillah  berkata, tidak dinafikan, AI bersedia menjadi peluang komersial terbesar pada tahun-tahun akan datang yang enurut kajian 2017 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan potensinya untuk meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global sebanyak 14 peratus bersamaan dengan USD15.7 trillion menjelang 2030.

 “AI tidak lagi terhad kepada alam fiksyen sains tetapi kuasa sebenarnya terletak pada kapasiti AI untuk merevolusikan cara kita bekerja dan berinteraksi dengan perniagaan dan komuniti.

 “Kemunculan AI telah mendorong perniagaan untuk memanfaatkan keupayaannya untuk kekal berdaya saing. Ia bukan sahaja belajar dengan cepat tetapi memiliki kebolehan untuk berkomunikasi seperti manusia,” katanya.

 Sementara itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, AI mempunyai potensi besar untuk ekonomi Malaysia yang mana sasaran dasar Revolusi Perindustrian Nasional 4.0 ialah sebanyak 30 peratus peningkatan output menjelang 2030.

 “Oxford Insights Indeks Kesediaan AI Kerajaan 2022 meletakkan Malaysia di tempat ke-31 di dunia atau kedua di Asia Tenggara.

 “AI juga boleh menjadi kekuatan untuk diplomasi dan kerjasama global. Saya ingin menggalakkan kerajaan, agensi, penyelidik dan syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan rakan UK mereka untuk mewujudkan norma dan piawaian antarabangsa untuk pembangunan dan penggunaan AI,” katanya.

 Beliau berkata, dalam pengumuman Bajet 2024 jumaat lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi penubuhan fakluti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia.

 “Kerajaan juga akan memberi perhatian khusus kepada perubahan dalam pekerjaan pasaran kerana AI boleh menggegarkan pasaran buruh dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

 “Kami telah menyaksikan kehilangan pekerjaan berkemahiran pertengahan akibat automasi, mengakibatkan kelompok besar pekerjaan bergaji tinggi dan bergaji rendah di kedua-dua kutub pasaran buruh. AI boleh menjejaskan banyak pekerjaan dan industri secara berbeza daripada sebelumnya.

 “Pelan hala tuju AI Kebangsaan telah menggariskan tujuh Prinsip Bertanggungjawab AI tetapi terlalu generik dan terdapat banyak cara untuk melaksanakannya.

 “Oleh itu, kerajaan sedang memuktamadkan kriteria khusus dan garis panduan untuk pembangunan dan penggunaan Ai dan aplikasinya. Panduan itu akan dikeluarkan pada awal tahun 2024,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya