Malaysia tegas tolak tuntutan kedaulatan China 

Parlimen: Malaysia tegas tolak tuntutan kedaulatan China 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia enggan terlibat dalam konflik kuasa-kuasa besar berhubung isu tuntutan China melalui peta standard edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim negara ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, sebarang tindakan yang menggugat keamanan dan kestabilan serantau tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu di Laut China Selatan di mana-mana platform bagi memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara.

Katanya, kerajaan dengan tegas menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa China ke atas kawasan maritim di Laut China Selatan yang meliputi kawasan maritim negara.

“Antara usaha serantau memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, ialah dengan memeterai Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002 oleh negara ASEAN dan China.

“Di bawah persefahaman itu, negara ASEAN mengambil pendekatan ‘self-restraint’ dan memastikan tindakan diambil dan aktiviti dijalankan di Laut China Selatan, tidak meningkatkan ketegangan di perairan itu.

“Pada masa ini juga, negara ASEAN dan China sedang merundingkan Code of Conduct in the South China Sea (COC), yang juga satu kod tata cara mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan. Ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.

“Rundingan COC ini sedang dilaksana oleh ASEAN dan China menerusi platform ASEAN-China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWG-DOC), berdasarkan Single Draft Negotiating Text (SDNT) COC yang digunakan sebagai asas rundingan.

“Malaysia sentiasa memastikan bahawa COC yang akan dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan dan hak kepentingan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-SIK] yang mahu kerajaan menyatakan tindakan susulan Wisma Putra terhadap bantahan diplomatik kepada China berhubung peta standard China edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Pada Ogos lalu, media antarabangsa melaporkan, peta standard China 2023 yang disiarkan oleh Kementerian Sumber Asli republik itu merangkumi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan di India yang dituntut oleh Beijing.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Peta itu dikeluarkan sempena sambutan Hari Publisiti Pemetaan dan Minggu Kesedaran Pemetaan Kebangsaan.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam peta standard China edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim negara.

Katanya, tuntutan maritim sepihak China sama sekali tidak mengikat Malaysia selain konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa pihak asing ke atas kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Kerajaan Malaysia dilaporkan menghantar nota bantahan terhadap China susulan tersebut. India, Filipina dan Taiwan turut membantah serta enggan mengiktiraf peta dikeluarkan China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN