Malaysia kedudukan dalam perangi pemerdagangan manusia

Malaysia perlu tambah baik kedudukan dalam perangi pemerdagangan manusia

SYUHAIDA Abdul Wahab Zen menerima cenderamata daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa semasa program kesedaran membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas dua tahun berturut-turut berada pada kedudukan tercorot (tahap tiga) dalam mematuhi piawaian minimum bagi memerangi aktiviti pemerdagangan manusia, kedudukan Malaysia kini berada dalam senarai pemerhatian tahap dua (2WL).

Kedudukan itu dinyatakan dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (USTIP).

Setiausaha Bahagian Pejabat Strategik Nasional (NSO), Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo), Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata, ketika ini, Malaysia belum mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

Namun, negara ini menunjukkan usaha signifikan untuk mematuhi TVPA dan tiga perundangan antarabangsa lain seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah terancang (UNTOP), protokol pemerdagangan manusia dan TVPA Amerika Syarikat.

Justeru, Malaysia perlu mematuhi 15 syor penambahbaikan yang meliputi aspek pendakwaan dan penguatkuasaan; perlindungan mangsa dan pencegahan bagi membolehkan kedudukan Malaysia bertambah baik dalam usaha memerangi pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, sekiranya kedudukan Malaysia kembali menurun kepada tahap tiga, ia akan menjejaskan ekonomi negara.

“Apabila terdapat laporan mengenai buruh paksa dan pemerdangan manusia di negara ini, ia akan menjejaskan hubungan dagangan Malaysia dengan negara lain. Malah, pelabur juga tidak akan melabur di negara yang berada pada kedudukan tahap tiga dalam USTIP.

“Ketika ini, imej Malaysia di Asean adalah negara yang ke hadapan jadi, sekiranya kedudukan kita berada pada tahap tiga dalam pematuhan perundangan antarabangsa dalam memerangai pemerdagangan manusia, ia sudah tentu akan menjejaskan imej negara,” katanya semasa program kesedaran membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak negeri Sabah, hari ini.

Syuhaida berkata, laporan yang diambil kira dalam USTIP, bukan hanya laporan daripada kerajaan semata-mata sebaliknya, ia mengambil kira maklumat yang disalurkan oleh organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu.

“Laporan ini mungkin termasuk laporan mengenai majikan tidak membayar gaji, tidak menyediakan penginapan kondusif dan memegang pasport pekerja. Semua perkara ini boleh dilaporkan kepada USTIP,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia juga mengambil tindakan signifikan dalam menangani pemerdagangan manusia menerusi pewujudan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (Naptip) 3.0; dan Pelan Tindakan Kebangsaan Buruh Paksa 2021-2025 (Napel).

Mengulas lanjut katanya, setakat September, sebanyak 102 kes pemerdagangan orang direkodkan di Malaysia dan sebanyak 185 kes tangkapan direkodkan. Sementara itu, 217 kes penyeludupan migran direkodkan dan sebanyak 419 kes tangkapan telah dilakukan sepanjang tempoh yang sama.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 476 mangsa diberi perlindungan di bawah Perintah Perlindungan Sementara (IPO) dan 185 mangsa menerima Perintah Perlindungan (PO),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya