PETALING JAYA: Malaysia mengecam kemunafikan masyarakat antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan pembantaian terhadap warga Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip dan hukum antarabangsa mestilah diteguhkan tanpa mengecualikan mana-mana pihak.
Katanya, Malaysia juga menekankan bahawa hak rakyat Palestin mesti dikembalikan, diiktiraf kenegaraannya dan juga memperakui sempadan pra tahun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
“Dalam masa yang sangat mencabar ini dengan menghadapi krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang boleh menyebabkan konflik serantau dan dunia, Malaysia menyeru agar semua negara untuk bersama-sama mencari penyelesaian berkekalan serta adil dalam kemelut ini.
“Kami berharap ahli-ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) khususnya P5 (ahli tetap Majlis Keselamatan PBB) memainkan peranan mereka sebagai broker keamanan yang jujur. Inilah masanya untuk dunia bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.
Untuk rekod P5 juga adalah negara-negara yang mempunyai kuasa veto dalam UNSC iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis.
Beliau berkata, Malaysia juga menggesa agar koridor bantuan kemanusiaan mesti segera digerakkan bagi memudahkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan. – UTUSAN