Malaysia gesa OIC cari solusi hentikan konflik Palestin-Israel 

Malaysia gesa OIC cari solusi hentikan konflik Palestin-Israel 

gaza
ZAMBRY ABD KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menggesa  semua pihak termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencari solusi bagi menghentikan konflik antara Palestin dan Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, gesaan itu dibuat dalam Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri yang dihadirinya di Jeddah, Arab Saudi.

Katanya, mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif OIC.

“Pada mesyuarat tersebut, saya telah menyampaikan Kenyataan Malaysia yang menggesa konflik Palestin-Israel dihentikan dengan kadar segera dan mendesak untuk menghentikan politics of dispossession, iaitu menyahkan hak dan tanah rakyat Palestin.

“Negara anggota OIC, masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang berpengaruh perlu mencari solusi ke arah ini. Saya juga telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong pembukaan koridor kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Zambry berkata, mesyuarat itu telah menerima pakai satu dokumen hasil yang mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel terhadap Palestin.

“Dokumen ini juga menggesa agar pencerobohan Israel dihentikan serta-merta, pengepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel ditamatkan dan menyeru negara-negara dan masyarakat antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin,” katanya.

Tambahnya, Malaysia turut mengecam secara serius insiden pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Utara Gaza sehingga menyebabkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak bersalah.

Katanya, perbuatan kejam ini jelas sekali bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia terus komited dalam memperjuang hak-hak rakyat Palestin. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana usaha antarabangsa bagi mengumpul dan menghulurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada rakyat Palestin.

“Malaysia juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mencari kaedah terbaik untuk menghentikan konflik yang berlaku dan mencari penyelesaian masa kini dan masa hadapan rakyat Palestin agar lebih aman dan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya