Malaysia fokus salur bantuan kemanusiaan segera ke Palestin - PM

Malaysia fokus salur bantuan kemanusiaan segera ke Palestin – PM

ANWAR Ibrahim bergambar kenangan selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Kompleks Seri Perdana Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia kini fokus dan komited dalam memastikan bantuan kemanusian dapat disalurkan segera bagi meringankan beban ditanggung rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan melakukan sedaya upaya dengan keupayaan yang terhad bagi penyaluran bantuan kemanusiaan itu.

Beliau berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dan menyokong segala usaha ke arah itu memandangkan rakyat Palestin ini berdepan pelbagai kesukaran termasuk kekurangan bekalan makanan dan bantuan perubatan.

“Buat masa ini, saya rasa fokus Malaysia adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis agihan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan negara-negara Arab bagi melancarkan penyaluran bantuan berkenaan.

Anwar berkata, beliau akan berlepas ke Riyadh, Arab Saudi hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) sebelum bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik serangan di Gaza itu.

Menurutnya, kesempatan sama akan digunakan bagi bertemu dengan pemimpin negara Islam lain termasuk kerajaan Mesir bagi membincangkan langkah seterusnya penyaluran bantuan kemanusiaan itu.

“Maklumat terkini yang saya dapat dari Mesir, Turki dan Arab Saudi bahawa ada kesukaran untuk salurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga gagal memutuskan (tindakan menyekat peperangan itu) malah, badan pengaman dunia itu tiada kesediaan untuk meredakan sengsara dihadapi rakyat Palestin.

“Buat masa ini, kalau boleh diketepikan dahulu salah siapa sebaliknya beri tumpuan kepada mangsa yang kebuluran, yang sakit dan mereka yang tidak dapat kemudahan perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, seluruh dunia pastinya tidak dapat menerima sama sekali kekejaman dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin ketika ini.

Katanya, ketika ini juga, media barat mempersoal tindakan serangan dilakukan pejuang Hamas terhadap Israel sejak 7 Oktober lalu namun, mereka juga perlu tahu bahawa rakyat Palestin juga diletakkan di dalam  ‘penjara terbuka’, ribuan telah dibunuh dan tanah Palestin turut dijajah serta dirampas.

“Jika anda tanya saya, saya tidak kisah (laporan media Barat) kerana berdasarkan kepercayaan dan fahaman, tindakan (kekejaman Israel terhadap Palestin) itu jelas melanggar undang-undang.

“Bagaimana isu ini mahu dirungkai lagi kerana sejak sekian lama, isu Palestin-Israel sudah diperdebatkan sejak berdekad-dekad lamanya malah, pelbagai resolusi sudah dikemukakan untuk tanganinya.

“Sekarang saya di sini (sebagai Perdana Menteri Malaysia), saya akan lakukan sedaya upaya dengan keupayaan terhad untuk membantu dan meringankan beban saudara Islam kita di Palestin,” katanya.

Katanya, Malaysia sejujurnya tidak lagi membenarkan kekejaman terhadap Palestin malah, tidak akan sesekali membiarkan tanah Gaza terus di jajah dan diambil alih.

Jelasnya lagi, negara-negara Arab juga perlu memainkan peranan utama dalam meredakan isu Palestin-Israel ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya