Malaysia berdepan kekurangan ahli terapi cara kerja yang serius - Utusan Malaysia

Malaysia berdepan kekurangan ahli terapi cara kerja yang serius

DANIEL Gooi (tengah) ketika melancarkan majlis perasmian sambutan Hari Terapi Cara Kerja Peringkat Kebangsaan 2023, di Padang Kota, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Malaysia kini berdepan kekurangan ahli terapi cara kerja yang serius berbanding negara-negara maju lain susulan kurangnya pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan profesion berkenaan.

Ketua Profesion Perkhidmatan Terapi Cara Kerja Kementerian Kesihatan (KKM), Nora Hamid berkata, dengan populasi rakyat Malaysia seramai 34 juta orang, jumlah ahli terapi cara kerja yang berdaftar dengan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu (AHP 774) hanya seramai 1,885 orang.

NORA HAMID

Katanya, majoriti ahli terapi cara kerja itu bekerja di KKM iaitu seramai 1,395 orang selain menjadi ahli akademik, terlibat dengan sektor swasta serta sebilangan kecil bertugas di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

”Pada masa ini, nisbah hanya seorang ahli terapi pekerjaan Malaysia kepada 17,777 orang berbanding 1:656 untuk pengamal perubatan Malaysia dan 1:305 untuk jururawat di negara ini dan pertumbuhan profesional ahli terapi cara kerja jauh di belakang jika dibandingkan dengan profesion lain.

”Jumlah ini adalah sangat sedikit berbanding dengan 16,000 ahli terapi pekerjaan di Australia untuk populasi 25 juta orang dan 33,383 ahli terapi pekerjaan di United Kingdom untuk populasi 65 juta penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sambutan Hari Terapi Cara Kerja Peringkat Kebangsaan 2023 di Padang Kota, di sini hari ini.

Yang hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi.

Menurut Nora, sebanyak 1,039
ahli terapi cara kerja bekerja di 135 hospital dan 394 (termasuk 94 kontrak) orang di klinik kesihatan komuniti (KK).

”Kebanyakan kami bekerja di Klinik Kesihatan yang biasanya terletak di kawasan bandar, bandar kecil dan sangat sedikit di luar bandar.

“Jumlah Klinik Kesihatan di Malaysia kira-kira 1,073 buah, tetapi hanya 271 klinik mempunyai perjawatan ahli terapi cara kerja,” katanya.

Tambahnya, Malaysia menuju negara tua dengan penduduk dianggarkan mencecah 34.3 juta dan kira-kira 2.4 juta daripada jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas sekali gus menjadi keperluan tinggi untuk ahli terapi cara kerja untuk di dalam komuniti.

Dalam pada itu, katanya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kekurangan ahli terapi cara kerja di negara ini antaranya penjawatan di KKM telah 90 peratus diisi dan terdapat ramai graduan yang memilih bertugas dengan majikan swasta.

”Oleh itu, kami berharap lebih banyak program-program pendedahan kepada masyarakat dilaksanakan supaya orang ramai sedar kepentingan profesion ini serta lebih ramai berminat memilih kerjaya sebagai ahli terapi cara kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya