PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-262 yang diadakan di Istana Negara selama dua hari bermula semalam antaranya membincangkan beberapa perkara yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara yang melibatkan Agama Islam.
Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Perkara-perkara mengenai pelantikan-pelantikan telah pun dibincangkan dalam Mesyuarat tersebut iaitu pelantikan hakim-hakim Mahkamah Atas, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) termasuk beberapa perkara menyentuh Perlembagaan Persekutuan iaitu cadangan pindaan Bahagian III berhubung Kewarganegaraan termasuk juga cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing.
“Perkara-perkara melibatkan agama Islam turut dibincangkan, termasuk penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkara serta pelantikan melibatkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Syed Danial berkata, mesyuarat turut disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan dan keselamatan negara.
Beliau berkata, taklimat pertahanan dan keselamatan negara itu masing-masing disampaikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.
Dalam pada itu, turut berangkat dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah,Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Seterusnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang; Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Yang di-Pertua Negeri Sabah manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Hadir sama ke mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diringi Ketua-Ketua Menteri sementara Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. -UTUSAN