MAINJ dan MAIWP dibenar jadi pencelah kes cabar enakmen

MAINJ dan MAIWP dibenar jadi pencelah kes cabar enakmen negeri

Mahkamah KL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menjadi pencelah dalam tuntutan oleh seorang guru tadika, M. Indira Ghandi dan 13 yang lain terhadap kerajaan-kerajaan negeri. 

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membuat keputusan tersebut setelah pihak-pihak selesai membuat hujahan mereka pada 4 September lalu. 

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili MAINJ, Datuk Ikbal Salam dalam satu kenyataan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan untuk turut sama mencelah dalam prosiding tersebut.

Kata beliau, pihaknya dan MAIWP diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Aidil Khalid dalam penghujahan mereka sebelum ini antara lain menyatakan bahawa Fasal 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor dan Fasal 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan memberi kuasa statutori kepada mereka sebagai pencelah pihak berkuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan dan Johor.

“Selain itu, kedua-dua terlibat secara terus dalam prosiding tersebut bagi menjaga kepentingan umat Islam sebagai agama negeri di dalam jurisdiksi sebagaimana yang ditetapkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor yang menjadi punca kuasa kepada majlis-majlis agama Islam tersebut. 

“Majlis-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Johor menghujahkan kepada mahkamah bahawa ujian bagi kebenaran untuk pencelahan berjaya dilepasi oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Wilayah Persekutuan kerana mereka adalah pihak yang secara terus akan terkesan dengan apa-apa penghakiman dalam saman pemula tersebut,” katanya.

Sebelum ini MAIWP, MAINJ dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan memohon untuk menjadi pencelah dalam saman pemula bagi mencabar enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak.

Kes saman pemula berkenaan difailkan guru tadika, M. Indira Gandhi dan 13 lain yang menamakan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Selain Indira, plaintif lain antaranya ialah Pertubuhan Agamam Ani, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) S Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team D Arumugam serta beberapa penduduk serta mangsa kepada penukaran agama secara unilateral.

Mereka antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, melalui alasan permohonan mereka, semua penukaran unilateral yang berlaku di negara ini dari tarikh keputusan kes Indira adalah terbatal kerana melanggar peruntukan berkenaan.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira hampir 14 tahun lalu kepada Islam oleh bekas suami mualafnya adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN