SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengarahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya 10 Oktober ini berhubung kes saman fitnah dihadapinya.
Perintah tersebut dikeluarkan pada pengurusan kes pertama dalam prosiding saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selaku plaintif.
Peguam yang mewakili Amirudin, Haijan Omar ketika dihubungi memberitahu, mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan selewat-lewatnya pada 24 Oktober sebelum menetapkan tarikh pengurusan kes baharu pada tarikh tersebut.
Dalam prosiding tersebut Muhammad Sanusi diwakili peguam dari tetuan Faizi & Associates.
Terdahulu Amirudin dilapor memfailkan saman pada 30 Ogos lalu terhadap Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional (PN) itu yang mendakwa beliau mempunyai skandal melibatkan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.
Amirudin dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Muhammad Sanusi dikatakan memfitnahnya menyerahkan tanah seluas 243 hektar di Selangor kepada Vincent Tan.
Menurutnya, fitnah tersebut disampaikan beliau dalam satu ucapan pada 2 Ogos di Jitra, Kedah. – UTUSAN