Mahkamah kekal kemenangan PN di DUN Suka Menanti

Mahkamah kekal kemenangan PN di DUN Suka Menanti

MAHKAMAH mengekalkan kemenangan Dzowahir Ab. Ghani (kanan) selepas membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Zamri Yusuf (kiri) bagi kerusi DUN Suka Menanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Keputusan Hakim Quay Chew Soon itu dilakukan pada sesi pendengaran dan keputusan secara dalam talian hari ini yang sekali gus mengekalkan calon Perikatan Nasional (PN), Dzowahir Ab. Ghani sebagai pemenang di kerusi DUN itu pada PRN, 12 Ogos lalu.

Mahkamah juga mengarahkan Zamri yang sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Suka Menanti sejak 2018 membayar kos RM15,000.

Peguam mewakili Zamri, Dr. Mohamed Sofee Razak berkata, mahkamah telah membenarkan hujahan bantahan awal daripada Peguam Kanan Persekutuan terhadap Petisyen Pilihanraya yang difailkan oleh pempetisyen.

Menurutnya, Zamri telah memfailkan petisyen membantah keputusan pilihan raya itu pada 18 September lalu, manakala hujahan bertulis dikemukakan pada 3 dan 10 Oktober sebelum pendengaran dan keputusan dibuat secara dalam talian hari ini.

Dalam bantahan itu, Zamri mendakwa terdapat keraguan, kesilapan dan kecacatan jumlah undi dalam 18 keping Borang 14 yang memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya tersebut.

Pada PRN lalu, Dzowahir menang dengan majoriti 8,245 undi selepas mendapat 18,396 undi berbanding Zamri yang memperoleh 10,151 undi dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi DUN Suka Menanti.

Dzowahir kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri setelah PN menang 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya