PETALING JAYA: “Tolong dengar baik-baik, tak kisahlah anda single atau suami orang sekali pun, kalau saya tak minat, tiada istilah menggoda. Saya bukan penyondol.”
Itu penegasan pelakon, Jasper Supayah yang terpalit dakwaan kononnya cuba meruntuhkan hubungan cinta antara seorang pelakon lelaki dan teman wanitanya.
Jelas Jasper, dia ketika ini sedaya upaya mahu memberi fokus kepada kerjayanya dan tidak berminat untuk bermain cinta terutama dengan lelaki yang sudah berpunya baik teman wanita atau isteri.
“Mungkin sekarang ramai sangat penyondol di luar sana, tetapi saya bukan salah seorang daripada mereka. Saya tak berminat untuk cuba merosakkan hubungan cinta sesiapa pun, tak kisahlah pelakon atau tidak.
“Buat masa sekarang cinta bukan keutamaan. Jauh lagi perjalanan saya. Selagi belum capai apa yang saya impikan, selagi itu mungkin saya tidak mahu terlalu asyik bercinta. Boleh hilang fokus.
“Jangan risau, saya ini pelakon. Di set memang saya akan bagi all out. Kalau perlu bercinta, saya akan bercinta. Tetapi hanya untuk hidupkan watak. Selepas itu, bye-bye,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Pelakon Jemputan Ke Neraka itu ditemui ketika majlis pelancaran produk penjagaan wajah baharu, Tatagaltier di sini semalam.
Dalam pada itu, Jasper berkata, dia tidak pernah khuatir soal jodoh belum sampai walaupun usianya sudah mencecah 30 tahun namun mengakui kerisauan itu timbul daripada ibu dan bapanya.
“Kalau nak kata tak pernah rasa sunyi, teringin bercinta itu tipu sangat. Tetapi untuk saya terlalu memikirkan soal itu sampai risau, tidak. Cuma mungkin ibu bapa saya yang tengah risaukan anak bongsu mereka ini.
“Yelah, asyik fokus bekerja sampai tiada masa nak fikir soal cinta, mana tak risau kan. Umur pun sudah 30 tahun, jadi mungkin di fikiran mereka, saya patut serius mencari calon suami.
“Saya belum bersedia mengorbankan impian saya untuk sebuah perkahwinan. Tetapi kalau sudah tertulis jodoh saya dalam masa terdekat, saya terima sahaja. Kalau itu ketentuan takdir,” ujarnya yang bakal menyambut Deepavali tidak lama lagi. – UTUSAN