Longkang tersumbat punca banjir landa Kampung Bahagia

Longkang tersumbat punca banjir landa Kampung Bahagia

KEADAAN rumah penduduk yang dinaiki air di Kampung Bahagia di Teluk Intan semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Longkang tersumbat dipercayai punca beberapa kawasan Kampung Bahagia di sini dinaiki air berikutan hujan lebat semalam.

Penduduk berkata, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun hujan lebat namun longkang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan banjir.

Penduduk di Lorong 4B Kampung Bahagia, Bakar Yunus, 72, berkata, air hujan tidak dapat mengalir disebabkan longkang dipenuhi rumput.

Menurutnya, Sungai Kerawai berdekatan rumahnya tidak dibersihkan dan banyak terdapat sampah dan kayu menyebabkan aliran air tersekat.

“Parit dan longkang tidak dibersihkan dan air tidak dapat mengalir keluar dari kampung ini apabila hujan lebat. Selain itu, pintu automatik pada empangan jika air dari dalam sungai naik tidak lagi tertutup sendiri, ini yang menyebabkan banjir.

“Saya harap pihak berkenaan segera melihat masalah ini supaya tidak lagi berlaku banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bekas Ketua Kampung, Tajol Asnan Rashid berkata, banyak longkang di kampung itu tidak dibersihkan menyebabkan aliran air terhalang sehingga menyebabkan banjir.

Menurutnya, antaranya longkang dari lorong 1B, 2B, 3B,4B sehingga 10B dan Lorong A dan Lorong B semua dipenuhi sampah, kayu dan rumput.

“Jika tidak dibuat kelubong pintu automatik, kampung ini akan dilanda banjir kerana kedudukan kampung ini dengan dengan Sungai Kerawai, jika hujan lebat, air akan masuk ke longkang menyebabkan banjir.

“Selain itu masalah pembuangan sampah dan sisa makanan ke dalam longkang oleh pekedai dan penjaja makanan tepi jalan juga punca longkang tersumbat,” katanya.

Sementara itu, pekerja sebuah syarikat membina rumah berkata, banjir menyebabkan kerja membaiki rumah penduduk di kampung itu tergendala.

Sarbilo Hamid Ramanli, 51, berkata, dia mula kerja menyimen rumah penduduk pada pukul lapan pagi dan tiba-tiba air naik sehingga paras buku lali.

“Banjir menyebabkan simen yang dibancuh terkena air, susah untuk saya bekerja dalam banjir,” katanya.

Sarbilo berharap longkang di kampung itu dibersihkan bagi mengelak berlakunya banjir selain meminta penduduk supaya tidak membuang sampah dalam longkang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya