MARANG: Lokasi kapal karam yang dianggarkan berusia hampir 100 tahun di perairan Pulau Kapas di sini akan menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lokasi kapal karam tersebut boleh diperkasa dalam pakej aktiviti selam skuba arkeologi.
“Orang tua dahulu memberitahu kapal ini berasal dari Jepun sebelum diserang dan dibom menyebabkan ia terbakar lalu karam di perairan Pulau Kapas.
“Kedudukannya lebih kurang 12 kilometer dari Pulau Kapas dan sedalam kira-kira 40 meter dari dasar laut,” katanya selepas melakukan selaman skuba menyaksikan kapal karam tersebut di Pulau Kapas di sini semalam.
Razali mengakui sebelum ini kerajaan negeri terlepas pandang khazanah tersebut sehingga sebahagian artifak berharga di dalam kapal karam terbabit sudah hilang dipercayai dicuri sejak puluhan tahun lalu.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi memulihara kapal karam tersebut.
“Kita akan melakukan penyelidikan untuk memastikan identiti sebenar kapal karam terbabit. Prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengenalan permit khas bagi aktiviti selaman skuba di lokasi kapal karam itu akan dikuatkuasakan mulai tahun depan bagi memastikan kelestariannya,” katanya.
Razali berkata, kerajaan negeri juga berhasrat membawa keluar sebahagian artifak berharga masih berada di dalam kapal karam itu untuk dipamerkan di Galeri Arkeologi Maritim Terengganu yang bakal dibuka tahun depan. – UTUSAN