KUALA SELANGOR: Penggunaan loji termal di negeri ini untuk melupuskan sampah dan dijadikan sebagai tenaga atau Waste-To-Energy (WTE) didakwa sebagai teknologi yang selamat dan mesra alam.
Malah, insenarator tersebut turut digunakan di negara-negara maju seperti Jepun dan China didakwa selamat dan tidak membahayakan penduduk berbanding pelupusan sampah secara konvensional.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menafikan wujud kebimbangan terhadap risiko daripada operasi insenarator tersebut, namun yakin teknologi tersebut mampan seperti mana digunakan di negara-negara lain sebagai kaedah pengurusan sampah dan penjanaan tenaga.
“Tetapi selepas kita juga membuat lawatan dari tahun 2008 hingga 2019 ke luar negara termasuk mereka sebahagiannya yang membantah turut berada dalam lawatan tersebut.
“Lawatan lihat bagaimana di Tokyo di tengah bandar dan sebagainya, saya rasa ini bukan 80 atau 90 insenarator, ia menunjukkan tanda-tanda pemeriksaan berulang kali untuk menangani karbon dioksida dalam teori pelepasan (berkaitan WTE) dan sebagainya.
“Saya rasa kita percaya kepada teknologi, tengok macam mana ia beroperasi dan kita lihat di beberapa negara yang selamat macam Jepun, China ataupun negara lain. Di Selangor itu (WTE) yang pertama, tetapi terbesar di Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas sekumpulan individu mewakili penduduk di Rawang yang berhimpun secara aman bagi membantah pembinaan loji termal WTE di laluan masuk di kawasan tapak projek WTE Jeram, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan penggunaan loji termal atau kaedah WTE selain menjana tenaga, ia juga dapat menangani unjuran peningkatan jumlah pelupusan sampah berdasarkan pertambahan penduduk di negeri ini.
“Keseluruhan kita ada lebih kurang 7,000 tan sampah sehari, dengan projection pertambahan penduduk boleh menjadi 8,000 hingga 9,000 tan sehari dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, lebih 20 persatuan komuniti di sekitar Rawang dilapor membantah cadangan projek pembinaan insinerator di kawasan sana yang didakwa memberikan impak sosial termasuk bau busuk, kesesakan lalu lintas seterusnya nilai tanah yang akan menyusut susulan kehilangan kawasan hijau.
Namun, Amirudin menjelaskan insinerator yang dibina itu bukan seperti pada tahun 1990-an atau awal 2000 dan memaklumkan perkara itu sudah berulang kali terangkan termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN