LKIM sedia peruntukan RM2 juta laksana projek pembesaran unjam - Utusan Malaysia

LKIM sedia peruntukan RM2 juta laksana projek pembesaran unjam

MUHAMMAD Faiz Fadzil (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Program Melabuhkan Unjam di perairan Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan  sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan projek pembesaran unjam di perairan Pantai Timur negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, peruntukan di bawah ‘Rolling Plan 3’ Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu membabitkan 10 lokasi di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Menurut beliau, objektif utama projek berkenaan ialah menambah kepadatan dan kepelbagaian hidupan marin serta memulihara kawasan pembiakan ikan di perairan terlibat.

Selain itu, Muhammad Faiz berkata, usaha yang digerakkan bersama komuniti nelayan pantai itu juga dapat mewujudkan habitat baharu terutamanya di kawasan unjam marinovasi.

“Projek pembesaran unjam ini dilaksanakan di 10 lokasi masing-masing tiga di perairan Kelantan dan Terengganu serta empat di perairan Pahang dengan kos RM200,000 bagi setiap lokasi.

“LKIM berharap selepas ini nelayan akan boleh menangkap ikan melalui ‘target fishing’ berhampiran pantai selain dapat mengelak kawasan itu daripada musnah ekoran aktiviti pukat tunda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Melabuhkan Unjam di perairan Kuala Terengganu ,di sini, hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 16 unit unjam marinovasi terdiri daripada gabungan 432 unit modul unjam berjaya dilabuhkan di lokasi unjam bendera pada kedalaman 80 kaki.

Menurut Muhammad Faiz, lebih 6,000 nelayan pantai di Terengganu dijangka dapat menerima manfaat seterusnya menambah hasil pendapatan menerusi pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, untuk rekod, sebanyak 210 tapak unjam telah dibina di seluruh perairan negeri Terengganu sejak 1983 sehingga kini dengan RM600,000 telah diperuntukkan melalui RMK-12 pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN