LKIM bina 257 rumah nelayan bernilai RM16.3 juta   - Utusan Malaysia

LKIM bina 257 rumah nelayan bernilai RM16.3 juta  

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada Mohd. Sapian Hussin (tiga dari kanan) yang menerima rumah baharu di Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan pembinaan 257 rumah baharu bernilai RM16.3 juta untuk nelayan yang memerlukan di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 71 unit rumah baharu dibina di Sarawak, diikuti 49 di Kedah, Perak (34), Negeri Sembilan (25), Terengganu (25) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16).

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 11 unit rumah baharu dibina di Johor, Selangor (lapan), Perlis (lima), masing-masing empat di Kelantan, Pahang dan Melaka serta satu di Pulau Pinang.

“Setiap rumah ini dianggarkan bernilai RM58,000 setiap satu namun ada juga yang kosnya lebih tinggi daripada itu contohnya di Pulau Redang ini, kosnya ialah RM95,000.

“Ini kerana kos pengangkutan bahan-bahan pembinaan ke pulau agak tinggi. Kita berharap rumah baharu ini akan memberi keselesaan kepada golongan nelayan bersama keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Baru, Pulau Redang, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata, penerima rumah tersebut, Mohd. Sapian Hussin, 46, adalah ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Terengganu Selatan dan merupakan nelayan yang aktif.  

Tambahnya, PNK Kuala Terengganu Selatan di Pulau Redang mempunyai seramai 30 orang nelayan yang berdaftar dan mereka menikmati insentif bersasar daripada LKIM termasuklan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) iaitu RM300 sebulan, Subsidi Bahan Api Petrol Dan Diesel serta Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI).

Sementara itu, Mohd. Sapian berkata, dia bersyukur dan gembira kerana hasratnya untuk tinggal di kediaman sendiri bersama isteri, PIsteri Rohayu Kutab, 46, dan dua anak mereka tercapai.

“Sebelum ini kami tinggal di rumah mertua seramai tujuh orang bersama ahli keluarga yang lain, kemudian saya dapat tinggal di sebuah kuarters yang disediakan oleh pengusaha hotel.

“Pada tahun 2019, saya membuat permohonan untuk memiliki rumah baharu di tanah milik sendiri dan alhamdulillah akhirnya diluluskan oleh LKIM,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN