Lima lelaki mengaku tidak bersalah rompak cip elektronik kilang - Utusan Malaysia

Lima lelaki mengaku tidak bersalah rompak cip elektronik kilang

LIMA lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merompak unit-unit cip ditolak di sebuah kilang di Taman Maju Rapat, Ipoh bulan lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak unit-unit cip ditolak (cip rejected unit) di sebuah kilang di Taman Maju Rapat, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Abd Rahim, 40; Junaidy Ali, 46; Muhamad Rozaidi Yusoff, 42; Rizuan Mohamad Yusof, 32 dan Zairul Nizam Mohd Sazali, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing, Chhetri Purna Bahadur dengan merompak unit-unit cip ditolak di dalam stor barangan lusuh Kilang Carsem.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilang Carsem, Jalan Lapangan Terbang, Taman Maju Rapat di sini pada pukul 8.45 malam, 14 September 2023.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dengan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Junaidy diwakili peguam A. Logaprieyan manakala empat yang lain diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah masing-masing memohon agar kesemua tertuduh diberikan jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 15 November depan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah kilang elektronik menerusi serbuan di beberapa lokasi di Ipoh, Selangor dan Pulau Pinang pada 21 dan 22 September lalu.

Dalam kejadian itu, sejumlah bahan logam mampat bernilai RM180,000 telah dilarikan suspek dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya