elak lagi ramai jadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia

Letak poster hebahan di KLIA, KLIA2 elak lagi ramai jadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar dipercayai mengubah modus operandi (MO) dengan menawarkan peluang perniagaan bagi memperdaya mangsa.

MO terbaharu itu digunakan sindiket selepas taktik tawaran peluang pekerjaan bagi memperdaya mangsa ke negara tersebut untuk dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ mendapat pendedahan yang meluas oleh media massa.

Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berikutan itu sudah tiba masanya semua pihak termasuk Jabatan Imigresen melakukan kempen-kempen tertentu di pintu-pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai kegiatan sindiket pemerdangan manusia terutama di negara berisiko.

Kata beliau, sebaran maklumat menerusi media massa tidak mencukupi memandangkan masih ada lagi yang menjadi mangsa kerana tidak mengetahui mengenai aktiviti penipuan seumpama ini.

Terbaharu, menurutnya, membabitkan rakyat Malaysia, Muhammad Izzat Abdul Wahab yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen Myanmar.

“Allahyarham ada hubungi kita (MHO) untuk meminta bantuan menyelamatkannya kerana  jadi mangsa pemerdagangan manusia. Soalan pertama saya kepada Allahyarham, apakah dia mengetahui ada kes seumpama ini pernah dilaporkan sebelum ini dan kenapa masih menjadi mangsa?

“Dia menjawab, dia tidak tahu malah isterinya juga tidak mengetahuinya. Keadaan ini cukup jelas sejauh mana maklumat sampai kepada masyarakat dan masih ada lagi yang tertipu dengan modus operandi yang berbeza-beza,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Hishamuddin, pemantauan dan kawalan tertentu juga perlu dilakukan kepada mana-mana individu yang berisiko terutama remaja dan orang muda yang tiada sejarah perjalanan ke luar negara bersendirian.

“Sepatutnya, diletakkan banner atau poster kesedaran di pintu-pintu masuk untuk ingatkan orang ramai yang ingin ke luar negara untuk bekerja agar tidak tertipu,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan membabitkan Muhammad Izzat, Hishamuddin menggesa Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Kementerian Luar bagi menggesa melakukan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian Allahyarham.

Kata beliau, pihaknya juga akan melancarkan tabung bagi membantu menguruskan jenazah termasuk menghantar ahli keluarga arwah ke Myanmar.

“Wakil daripada kita (MHO) akan turun kesana bersama-sama ahli keluarga mangsa bagi melihat proses berkenaan. Justeru, kita perlukan sumbangan orang ramai bagi membantu kos membawa pulang jenazah yang dianggarkan bernilai RM35,000 selain kos perjalanan ke negara berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, Muhammad Izzat yang berasal dari Tanjung Lumpur, Pahang menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand sebelum sindiket menculiknya dan membawa mangsa ke Myanmar melalui jalan darat.

Mangsa kemudiannya dikatakan diselamatkan wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali di sebuah hotel di Myanmar.

Allahyarham Muhamad Izzat yang berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia melalui sindiket pekerjaan palsu itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar, 14 Oktober lalu.

Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya