SHAH ALAM: Pemuda Pas Pulau Pinang mengingatkan kepemimpinan parti serta Perikatan Nasional (PN) supaya meletakkan calon Melayu pada kawasan majoriti Melayu di negeri itu.
Perwakilan Pemuda Pas Pulau Pinang, Arr Rahman Mohamed Zakaria berkata, ketetapan tersebut perlu untuk memastikan parti atau gabungannya mempunyai peluang cerah untuk memenangi kawasan berdasarkan komposisi pengundi sedemikian.
“Kita lihat apa yang berlaku baru-baru ini (pilihan raya negeri) di Pulau Pinang yang mana ada calon bukan Melayu diletakkan di satu Dewan Undangan Negeri (DUN). Pemuda Pas Pulau Pinang tidak berpuas hati lantas membantah keputusan berkenaan.
“Malah, ahli Pemuda Pas Pulau Pinang yang mempunyai jawatan dalam PN Pulau Pinang meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap keputusan terbabit,” katanya ketika sesi perbahasan ucaptama Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-64 di, hari ini.
Pada PRN lalu, berlaku pertikaian ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos lalu apabila Pas negeri itu membantah Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bertanding di DUN Bayan Lepas.
Justeru, Dominic itu ketika itu dikatakan tidak mendapat bantuan daripada jentera Pas, selain diminta meninggalkan satu ceramah mega ‘PN Best’ di Sungai Dua, Pulau Pinang ketika tempoh kempen itu.
Sementara itu, perwakilan Pemuda Pas Johor, Azlan Alias pula mengingatkan ahli Pas yang telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen supaya menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.
“Anda (wakil rakyat) bawa imej parti. Jadi jaga nama baik parti. Kalau ada masalah yang berlaku di kawasan, selesaikan segera,” tegasnya. – UTUSAN