Lesen penerbangan MYAirline digantung - Utusan Malaysia

Lesen penerbangan MYAirline digantung

Beberapa individu yang ada kaitan dengan iServe dan syarikat penerbangan MYAirline yang ditutup operasinya telah ditahan berkaitan pengubahan wang haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menggantung lesen syarikat penerbangan, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) untuk sementara waktu susulan penggantungan operasinya yang dilakukan secara mengejut.

Menterinya, Anthony Loke berkata, keputusan tersebut diambil terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu selepas mendapati mereka menghentikan operasi kerana ingin mencari pelabur baharu.

“Saya difahamkan syarikat itu masih wujud, dia kata dia berhentikan operasi sementara nak mencari pelabur, itu isu komersial mereka.

“Di pihak berkuasa, kita akan menggantung lesen mereka sementara waktu,” katanya kepada pemberita di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), hari ini.

Terdahulu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang diberitahu.

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Ia mengakibatkan seramai 125,000 penumpang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan tersebut dengan anggaran kerugian sebanyak RM20 juta berdasarkan jualan tiket mereka.

Susulan itu, MYAirline memohon maaf kepada semua penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi luar jangka syarikat itu.

Eksekutif Interim, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu kini sedang mempercepat proses bayaran balik wang.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban  berkata, MYAirline memberi penjelasan kepada pelanggan dan kakitangan mereka yang terkesan.

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga akan mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung MYAirline.

“Satu usul juga akan dibahaskan di kamar khas di Parlimen pada petang ini dan timbalan saya akan menjawab soalan itu kerana saya perlu ke luar negara petang ini.

“Jadi, Timbalan Menteri akan jawab di kamar khas Parlimen. Kita akan menjawab segala isu yang timbul dan apa sahaja, yang paling penting sekarang ini kita mahu pastikan hak pengguna terpelihara dan mesti dipertahan.

“Mereka ada hak untuk mendapat pembayaran balik tiket penerbangan, itu sesuatu yang amat-amat penting yang kita pastikan. Yang keduanya juga kebajikan pekerja MYAirline seramai kira-kira 900 orang itu mesti juga dijaga.

“Jadi, pihak syarikat diingatkan bahawa mereka ada tanggungjawab dalam kedua-dua aspek ini iaitu aspek pelanggan dan juga aspek pekerja, ini mesti dijaga terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya