Lelaki serang anggota polis guna kapak direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Lelaki serang anggota polis guna kapak direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lelaki yang menyerang seorang anggota polis berpangkat Koperal menggunakan kapak dalam kejadian di kawasan kebun sawit di Felda Bersia semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret R. Prabakaran dalam prosiding yang dijalankan di Hospital Taiping.

Prosiding reman tersebut dijalankan di hospital berikutan suspek menerima rawatan akibat kecederaan di bahagian kaki kerana terkena tembakan.

Bagaimanapun, suspek difahamkan telah dibenarkan keluar hospital hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, reman sehingga Selasa depan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik cedera di bahu kanan selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak.

Kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama seorang Lans Koperal sedang menjalankan Operasi Tapis di kawasan berkenaan sebelum terserempak suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Suspek berlari ke arah anggota terbabit dan melibas kapak ke arahnya hingga cedera pada bahu kanan dan bengkak di kepala.

Tindakan suspek itu menyebabkan anggota tersebut terpaksa melepaskan tembakan pada kaki lelaki itu bagi tujuan mempertahankan diri.

Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu peket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki ganja dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN