KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang tersangkut pada tingkap nako ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Felda Bersia di Gerik Ahad lalu, dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Naaim Abu Bakar, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai kediaman bagi maksud mencuri wang berjumlah RM77 milik seorang wanita berusia 39 tahun di sebuah rumah di Felda Bersia pada pukul 1.10 pagi, 8 Oktober 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, ketika rayuan, tertuduh yang juga bekas banduan dan masih bujang itu memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan bekerja sebagai penoreh getah selain perlu menanggung bapanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira rekod lampau lelaki itu yang pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada tahun 2019 dan 2021.
Menurut pihak pendakwaan, kali terakhir tertuduh dijatuhi hukuman penjara adalah selama sembilan bulan yang diputuskan Mahkamah Majistret Gerik pada 2 Januari 2021.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara tujuh tahun dari tarikh ditangkap pada Ahad lalu dan dua kali sebatan.
Menurut fakta kes, tertuduh ditangkap selepas dijumpai tersekat pada tingkap nako di bahagian dapur ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah.
Tertuduh masuk ke dalam rumah melalui tingkap nako yang dibengkokkan dan mencuri wang tunai sebanyak RM77. – UTUSAN