KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di hadapan rumah mangsa, penghujung bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Shofi Husson Fozo Rahman, 26, didakwa membunuh Ah Kau @ Yow Chow Chong, 80, yang juga seorang penjual buah pada pukul 6.30 petang, 26 September lalu di hadapan rumah mangsa yang terletak di Jalan Hujan Emas 5, Taman OUG, Brickfields di sini.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan terhadap tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan sebutan semula kes itu pada 24 November ini.
Pada 27 September lalu, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas ditikam di hadapan sebuah rumah teres di Taman OUG di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dalam laporan tersebut memberitahu dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ah Kau, 80, yang juga penjual buah-buahan ditemukan mati dengan kesan kecederaan di muka dan badan akibat tikaman. – UTUSAN