Lelaki dituduh bakar al-Quran, sejadah  - Utusan Malaysia

Lelaki dituduh bakar al-Quran, sejadah 

MOHD. Ridzuan Mohd. Kamal (tengah) yang dituduh membakar Al-Quran dan sejadah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUTRA HAIRRI ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengutip barang terpakai dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan membakar naskhah al-Quran dan sejadah, Jun lalu.

Hakim Nooriah Osman membacakan keputusan itu selepas tertuduh, Mohd. Ridzuan Mohd. Kamal, 33, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan harta milik sebuah masjid iaitu empat naskhah al-Quran dan tiga helai sejadah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan bersebelahan sebuah pusat hemodialisis di Kampung Maras, Batu Rakit dekat Kuala Nerus sekitar pukul 10.30 pagi, 12 Jun lalu.

Perbuatan itu disedari salah seorang ahli jawatankuasa masjid berkenaan yang kemudian mendapati beberapa naskah al-Quran dan sejadah tiada di dalam almari sebelum membuat laporan polis.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pihak pembelaan dalam hujahan memohon pertimbangan untuk meringankan hukuman berdasarkan laporan psikiatri dari Hospital Permai, Johor Bahru menunjukkan tertuduh menghidap skizofrenia.

Hakim Nooriah kemudian berpuas hati tertuduh faham pertuduhan ke atasnya dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap iaitu 12 Jun lalu.

“Mahkamah berharap hukuman ini menginsafkan kamu agar lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan sama atau melakukan lain-lain jenayah pada masa akan datang,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Najmi Adila Mohd. Nasir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya