BESUT: Kebimbangan seorang isteri selepas suaminya tidak pulang sejak pagi kelmarin terjawab apabila lelaki itu ditemukan mati di atas pokok dokong di kebun belakang rumahnya, di Kampung Dusun Beliku di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa, Saari Ghani, 53, ditemukan di atas sebatang pokok pada ketinggian enam meter hanya 200 meter dari rumahnya pada pukul 5.15 petang.
Menurut beliau, mangsa sebelum itu pada Rabu telah memaklumkan kepada isterinya untuk memetik buah di kebunnya itu kira-kira pukul 9 pagi.
Namun sehingga lewat malam, isteri mangsa berusia 53 tahun mendapati suaminya itu belum pulang ke rumah sebelum menantu dan adik iparnya mencari mangsa di kebun tersebut pada pukul 10 pagi semalam.
“Ketika di kebun terbabit, mereka ternampak dua bekas berisi buah duku di pertengahan jalan menghala ke rumah mangsa dan sebatang pengait buah yang disandar di pokok duku.
“Bagaimanapun kelibat mangsa gagal dijumpai sebelum ahli keluarga membuat laporan polis dan bertindak atas laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Mangsa kemudian ditemukan pasukan SAR dengan kesan kecederaan di leher selepas tersangkut di celah dahan pokok dan disahkan telah meninggal dunia pada pukul 5.15 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rozak memberitahu, mayat lelaki itu berjaya dibawa turun dari pokok dokong sejam kemudian lalu dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, seramai 17 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi itu sambil dibantu enam penduduk kampung.
Menurut beliau, tiada unsur jenayah ditemui dengan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – UTUSAN