BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki di sekitar daerah Barat Daya di sini, kerana disyaki menjadi keldai akaun melibatkan kerugian berjumlah RM1.9 juta membabitkan seorang pesara wanita.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lelaki berusia 31 tahun terbabit menjadi keldai akaun dalam kes penipuan seorang pesara wanita berusia 67 tahun.
”Suspek disyaki menjadi keldai akaun sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.
”Mangsa seorang pesara wanita dikatakan telah membuat satu keterangan palsu berkenaan Covid-19 dan telah disambungkan ke pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
”Mangsa merupakan seorang pesara wanita telah membuat 24 transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berasingan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.9 juta,” katanya di sini hari ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 24 tahun turut ditahan kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam sindiket memperdaya mangsa dalam urusan tawaran kerja dari pihak ‘Happy Buy’ yang menjanjikan pulangan keuntungan tidak wujud.
”Mangsa merupakan seorang suri rumah berusia 30 tahun telah membuat 12 transaksi pemindahan wang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8,050,” katanya.
Selain itu, polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diiklankan melalui carian !Google.
”Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun bekerja sebagai kerani telah membuat 16 transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berasingan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,840.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran kerja luar negara atau lain-lain,” katanya.
Tambahnya, pihak polis juga menyarankan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play Store semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi. – UTUSAN