KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang mengalami tekanan perasaan didakwa bertindak membakar rumah didiaminya bersama tiga beradik yang lain di Kampung Parit Che Ha, Manir dekat sini, hari ini.
Menurut ahli keluarganya, Raja Rohani Raja Salim, 51, kejadian itu berlaku pada pukul 8.10 pagi ketika adik lelakinya yang berusia 30-an tinggal seorang diri manakala tiga yang lain keluar bekerja.
Katanya, dia terdengar bunyi letupan ketika sedang berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum diberitahu oleh penduduk kampung tentang kebakaran tersebut.
Wanita itu mendakwa, perbuatan itu bukan kali pertama dilakukan adiknya dengan cubaan membakar rumah keluarga itu turut pernah dibuat dua kali sebelum ini namun berjaya dihalang.
“Pada lima tahun lalu, dia pernah cuba membakar rumah ini, selain beberapa kejadian lain seperti membakar bangsal dan motosikal sendiri beberapa bulan lalu.
“Ketika itu mujur ada penduduk kampung yang melihat dan menghalang daripada kejadian lebih buruk tetapi pagi tadi dia keseorangan di rumah kerana tiga lagi yang lain keluar bekerja.
“Semasa kejadian saya berada di rumah sendiri tidak jauh dari rumah mereka dan terdengar bunyi letupan sebelum diberitahu adik lelaki saya itu bertindak melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 17 anggota dan empat jentera diatur ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 8.30 pagi.
Katanya, kebakaran berkenaan melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah 80 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian.
“Punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN