KUALA KANGSAR: Sikap berani bersuara dan peribadi tegas menjadikan Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria antara tokoh disegani dalam institusi Islam di negara ini.
Jika bersangkut-paut dengan isu-isu akidah umat Islam di negara ini, kenyataan Allahyarham sentiasa dinanti-nantikan sebagai rujukan kerana mempunyai nilai yang tinggi.
Demi mengangkat kembali sumbangannya, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar menganjurkan program mengetengahkan semula penglibatan dan pemikiran Allahyarham.
Program berjudul Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani itu menghimpunkan agamawan, pentadbir badan-badan Islam serta mereka yang rapat dengan Allahyarham melibatkan 30 topik perbincangan.
Pensyarah USAS, Prof. Madya Dr. Ahmad Husni Hassan berkata, masyarakat melihat Allahyarham lebih daripada seorang mufti kerana begitu kritikal dalam isu-isu akidah.
“Allahyarham begitu bersungguh-sungguh menjaga kepentingan umat Islam. Ada dalam beberapa pertemuan, Allahyarham berlinang air mata mengenangkan umat Islam. Beliau meninggalkan legasi pemikiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Allahyarham diingati sebagai Mufti Negeri Perak yang paling lama berkhidmat dalam sejarah iaitu selama 36 tahun dari 1985 hinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 30 Mei 2021 sewaktu dirawat kerana positif Covid-19.
Dalam seminar berkenaan, turut diceritakan lipatan sejarah beberapa situasi yang pernah dilalui Allahyarham ketika memperjuang isu-isu agama.
Antaranya kebimbangannya mengenai dakwaan trend murtad yang menggemparkan negara pada 2006, kerisauan terhadap pengambilan pembantu rumah bukan Islam serta berpandangan tarian poco poco haram daripada sudut syarak kerana mengandungi unsur agama selain Islam.
“Pendirian akidah tegas beliau bukan setakat itu sahaja, bahkan jelas dimanifestasikan dalam institusi beraja. Hal ini dapat dilihat apabila beliau bertegas mengenai adat istiadat diraja yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti adat Bertabal Jin dan seumpamanya.
“Bahkan beliau menggesa majlis fatwa kebangsaan mengkaji dan menilai semula adat istiadat diraja yang bercanggahan dengan syiar Islam,” menurut maklumat yang dikongsikan dalam seminar.
Pernah dikhabarkan bahawa hubungan dingin antara beliau dengan Almarhum Sultan Azlan Shah sewaktu bertegas enggan membenarkan adat istiadat nobat diraja dimainkan dalam masjid sewaktu hari-hari kebesaran Islam dan kebesaran diraja atas alasan menjaga kesucian tempat ibadat daripada sebarang aktiviti yang melalaikan.
Lebih menarik sempena seminar itu turut diadakan pameran tentang tokoh tersebut termasuk keratan akhbar kenyataan yang pernah dikeluarkan beliau, pakaian, pingat, gambar memori sehinggalah dokumen peribadi. – UTUSAN