Lebih 112,000 isi rumah terima manfaat Skim Perubatan Madani - Utusan Malaysia

Lebih 112,000 isi rumah terima manfaat Skim Perubatan Madani

ANWAR Ibrahim (tengah) menyempurnakan gimik Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 112,887 isi rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima manfaat di bawah program Skim Perubatan Madani sejak diperkenalkan Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam tempoh tiga bulan itu, sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar telah diberikan kepada kumpulan sasar melalui perkhidmatan di 1,587 klinik swasta yang berdaftar melalui skim berkenaan.

Katanya, Skim Perubatan Madani adalah inisiatif baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan Belanjawan 2023.

“Skim yang diperkenalkan pada 15 Jun lalu itu dilaksanakan untuk membantu golongan B40 mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan primer akut di klinik swasta berhampiran kediaman mereka.

“Skim ini dimulakan dengan projek rintis di sepuluh kawasan yang dikenal pasti mempunyai hospital yang mengalami kesesakan sebelum perkhidmatan sama diperluaskan kawasan sasarannya ke seluruh negara pada 15 September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurut beliau, perkhidmatan yang ditawarkan menerusi skim itu adalah komprehensif meliputi konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.

“Kerajaan menampung sepenuhnya kos rawatan di klinik swasta ini dan pastinya
ia mengukuhkan jaringan perlindungan kesihatan dan membantu meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha menambahbaik skim tersebut dengan mengambil kira input dan cadangan pelbagai pihak agar ia memenuhi keperluan kesihatan rakyat dan pengamal perubatan.

Katanya, antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk penambahan jenis ubat-ubatan yang boleh dipreskripsi dan kenaikan kadar kos pembiayaan kepada klinik swasta merangkumi kos prosedur dan juga X-ray.

“Di samping itu, KKM juga akan menilai semula penambahan skop perkhidmatan dari semasa ke semasa seperti pergigian yang boleh dimasukkan ke dalam skim tersebut.

“Malah, dalam usaha pendigitalan perkhidmatan kesihatan, ProtectHealth telah membangunkan aplikasi untuk memudahkan urusan pesakit seperti semakan kelayakan, carian klinik, semakan baki manfaat di bawah skim ini dan pengesahan OTP ketika menerima rawatan di klinik,” katanya.

Sementara itu, Zaliha memberitahu, program Madani Afiat sebelum ini telah pun dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu dan Johor.

Katanya, pengisian utama program itu melibatkan aktiviti ‘touch point’ iaitu lawatan dari rumah ke rumah yang turut memberi peluang penglibatan pihak pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat serta pasukan perubatan.

“Di samping itu, program statik turut
diadakan oleh KKM dengan kerjasama agensi-agensi lain untuk mengadakan aktiviti interaktif kepada pengunjung,” katanya.

Terdahulu, Zaliha bersama petugas kesihatan menyantuni masyarakat dengan melakukan ‘walkabout’ saringan kesihatan di dua buah rumah di Taman Jati dan Taman Meru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya