Lebih 100,000 jururawat berkhidmat dalam sektor kesihatan

Lebih 100,000 jururawat berkhidmat dalam sektor kesihatan

SEBAHAGIAN jururawat yang hadir sempena Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru disini baru-baru ini, -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 114,922 jururawat di Malaysia yang terdiri daripada 78,118 jururawat di sektor awam dan 36,804 jururawat di sektor swasta setakat 31 Ogos 2023.

Daripada jumlah 78,118 jururawat di sektor awam, 70,255 daripadanya berkhidmat di Kementerian Kesihatan yang merangkumi 69,828 lantikan tetap dan 427 lantikan kontrak.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy yang mewakili Kementerian Kesihatan berkata, bagaimanapun 427 jururawat lantikan kontrak sedang diuruskan untuk dilantik tetap yang dijangka selesai pada Disember 2023 tertakluk kepada tapisan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Berdasarkan keperluan semasa, unjuran keperluan jururawat di sektor awam pada 2025 adalah 113,472 orang.

“Jumlah ini mengambil kira keperluan jururawat bagi fasiliti baharu dan naik taraf serta unjuran atrisi seperti jururawat yang meletak jawatan, bersara, meninggal dunia serta terdapat dalam kalangan jururawat yang berhijrah ke luar negara,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bagi memastikan bilangan jururawat mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat, Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai inisiatif.

Antaranya, katanya, pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan tajaan Kementerian Kesihatan dinaikkan daripada 1,000 orang kepada 2,000 orang setiap tahun dan pengambilan Diploma Kejururawatan untuk menaik taraf jururawat masyarakat kepada jururawat yang dinaikkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun.

“Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membatalkan moratorium pembekuan pembukaan kolej kejururawatan swasta baharu bagi meningkatkan pengeluaran jururawat tempatan.

“Permohonan kepada Agensi Pusat bagi pewujudan jawatan tambahan secara berfasa melibatkan pelbagai skim perkhidmatan bagi fasiliti sedia ada Kementerian Kesihatan untuk 2023 hingga 2025 dan pengambilan tetap secara berfasa graduan Diploma Kejururawatan daripada universiti awam dan universiti swasta pada 2024,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sama ada khidmat jururawat tempatan buat masa ini mencukupi dalam perkhidmatan kesihatan negara sama ada kerajaan dan swasta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN