LUMUT: Golongan nelayan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sisa peralatan perikanan serta sampah lain ke dalam laut sehingga hanyut ke Pulau Sembilan dekat sini serta menjejaskan alam sekitar dan hidupan marin.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, masyarakat khususnya nelayan perlu mengubah sikap dengan tidak menjadikan kawasan laut dan sungai sebagai tempat pembuangan sampah.
“Selagi sikap tidak bertanggungjawab ini kekal tidak berubah, maka, sampai bila-bila kita (sentiasa perlu) membersihkan dasar laut kita.
“(Jika perbuatan ini berterusan), semua batu karang boleh mati dan kita akan hilang sumber perikanan di kawasan-kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai sisa peralatan perikanan, sisa plastik, aluminium, tin, logam serta kaca dan polisterin seberat 2.28 tan metrik antara bahan sukar reput dikumpul 50 sukarelawan dalam Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023 di sini baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden Persatuan Konservasi Samudera Perak (Ocean 9), Raja Nor Safrina Raja Shahrul Zaman, Pulau Sembilan adalah pulau yang tidak berpenghuni, sampah sarap yang terperangkap di pulau itu dibawa oleh arus Selat Melaka.
Syamsul Hazeman berkata, kebanyakan sampah yang dikutip itu adalah sampah hanyut dan pukat yang ditinggalkan oleh golongan nelayan.
Menurutnya, pukat-pukat yang dibuang oleh nelayan komersial memang sangat kritikal kerana bahan tidak mudah reput itu boleh menjejaskan pembiakan marin pada masa depan.
“Pemancing rekreasi tidak menggunakan pukat, walaupun ada juga sampah dari laut yang mengandungi joran pemancing, ia tidak menjejaskan sangat (hidupan marin), (tetapi) majoriti (sampah) pukat yang ditarik keluar adalah dari bot nelayan,” katanya.
Justeru beliau mencadangkan Jabatan Perikanan mencari kaedah sesuai dalam mengawal masalah pukat yang dibuang ke dalam laut oleh golongan nelayan. – UTUSAN










