Langkawi rekod kemasukan 2.04 juta orang sehingga September

Langkawi rekod kemasukan 2.04 juta orang sehingga September

PARA peserta dan pemenang bergambar kenangan selepas kejohanan Northern Paintball Super League (NPSL) Grand Finale 2023-LADA Cup di Kompleks Sukan Langkawi, Langkawi. -UTUSAN/ NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 2.04 juta pelancong termasuk dalam kalangan pengunjung domestik direkodkan bercuti ke Pulau Langkawi, di sini sehingga September lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad Fuad Che Ani berkata, pihaknya menjangkakan sasaran tiga juta kemasukan pelancong ke pulau peranginan itu akan dapat dicapai.

“Usaha-usaha yang lebih gigih dan agresif dijalankan pelbagai pihak seperti Tourism Malaysia, LADA dan agensi di Langkawi untuk mencapai sasaran tiga juta pelancong pada dua bulan terakhir tahun ini.

“Daripada pelbagai acara yang kita jalankan seperti paintball yang melibatkan kira-kira 800 orang terdiri daripada peserta bersama keluarga mereka berada di Langkawi selama lima hari di sini,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah acara Northern Paintball Super League (NPSL) Grand Finale 2023-LADA Cup di Kompleks Sukan Langkawi, hari ini.

Menurut Ahmad Fuad, acara tersebut melibatkan penyertaan 81 orang daripada tiga buah negara selain Malaysia iaitu Taiwan, Singapura dan Australia.

Tambahnya, terdapat 15 lagi acara yang telah dijadualkan akan berlangsung pada suku terakhir tahun ini bagi memastikan Langkawi mencapai sasaran kemasukan pengunjung sebanyak tiga juta pada tahun ini.

“Acara tersebut termasuklah Langkawi Geopark Enduro Challenge 2023, Langkawi International Half Marathon 2023 dan Langkawi International Folk Fest 2023,” katanya.

Terdahulu, Langkawi berjaya mengekalkan status geopark yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kali keempat pada tahun ini.

Daerah itu telah mendapat kad hijau dalam penilaian semula status tersebut yang sekali gus melayakkan Langkawi kekal berada dalam Global Geopark Network (GGN) sehingga 2027.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga menerbitkan Pelan Pembangunan Geopark Negara (PPGN) 2021- 2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) sebagai garis panduan dan peta jalan bagi membangun dan menguruskan geopark termasuk di Langkawi.

Ini kerana, geopark kebangsaan memainkan peranan penting dalam menyokong pemeliharaan warisan geologi dan budaya, serta menjadi contoh utama bagi amalan pelancongan lestari. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya