PETALING JAYA: Penduduk Sungai Besar, Selangor diingatkan supaya tidak panik berikutan fenomena aneh iaitu langit bertukar berwarna hijau, malam tadi.
Pakar Governan Persekitaran Jabatan Kesihatan Persekitaran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku berpunca daripada lampu bot pukat cerut yang digunakan bagi menangkap ikan dan sotong.
Haliza berkata, lampu hijau yang terpancar di langit itu secara tidak langsung menandakan musim menangkap ikan dan sotong sudah tiba.
“Musim Monsun Timur Laut adalah musim menangkap ikan dan sotong, justeru ramai nelayan memasang lampu hijau bagi menarik perhatian hidupan laut tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mengenai fenomena sebahagian ruang udara disinari warna hijau di Sungai Besar, Sabak Bernam mencetuskan tanda tanya kepada penduduk setempat.
Gambar fenomena itu dipercayai dirakam seorang individu di sebuah taman perumahan dan kemudian memuat naiknya dalam media sosial.
Perkara itu menarik perhatian netizen termasuk penduduk yang mendakwa turut menyaksikan fenomena tersebut.
Netizen mengaitkan cahaya itu datang daripada arah bot nelayan yang melakukan aktiviti mencandat sotong di laut berdekatan.
Tambah Haliza, lampu hijau pada bot berfungsi untuk dipancarkan ke dasar laut, namun, keadaan itu mungkin menyebabkan pantulan cahaya menjadikan langit berwarna hijau.
Hal itu katanya, dikategorikan sebagai sesuatu yang biasa dan bukannya fenomena luar biasa.
“Jadi, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan,” ujarnya. -UTUSAN