BAGAN SERAI: Laluan yang menghubungkan Bagan Serai ke Selama di sini ditutup kepada kenderaan ringan sejak semalam berikutan laluan itu dinaiki air berikutan hujan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd. Sabli Bakri berkata, untuk itu pengguna yang mahu ke Selama atau sebaliknya, boleh menggunakan laluan A 111 iaitu laluan yang menghubungkan Alor Pongsu dan Bukit Merah melalui Jalan Changkat Lobak.
“Setakat ini laluan FT 147 Bagan Serai ke Selama masih boleh digunakan untuk kenderaan berat namun ditutup kepada kenderaan ringan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di laluan itu mendapati paras air meningkat sehingga 0.4 meter.
Difahamkan beberapa kenderaan ringan yang melalui jalan yang dinaiki air itu, mengalami kerosakan akibat ditenggelami air.
Tinjauan ke Kampung Tengah di sini, iaitu kawasan yang sering dilanda banjir juga mendapati penempatan di kawasan itu tidak dinaiki air. – UTUSAN