Lahir di Malaysia bukan syarat automatik jadi warganegara -KDN

Dewan Rakyat: Lahir di Malaysia bukan syarat automatik jadi warganegara 

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bahawa kelahiran di negara ini bukan syarat automatik untuk mana-mana individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kelayakan untuk mendapat kewarganegaraan ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf warganegara ibu bapa kandung sewaktu kelahiran itu berlaku.

Katanya, walaupun keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan pertalian darah seseorang individu dengan ahli keluarga lain khususnya dengan ibu, bapa atau adik-beradik, ia hanya sebagai dokumen sokongan dan tidak boleh dijadikan bukti konklusif dalam pemberian kewarganegaraan.

Katanya, proses pertimbangan tertakluk kepada syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara adalah anugerah tertinggi dan hak eksekutif Kerajaan Persekutuan dan kita tidak tawarkan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak.

“Dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan, beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerah kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon.

“Selain itu, permohonan kewarganegaraan dikemukakan secara berasingan dengan kandungan maklumat dan dokumen sokongan berbeza-beza, maka, hasil penilaian dan pertimbangan permohonan juga berbeza ikut keperluan, bukti dan fakta kes berdasarkan maklumat diberikan,” katanya,” katanya dalam kamar khas di Parlimen hari ini. 

Beliau memaklumkan perkara itu sebagai maklum balas kepada ucapan Vivian Wong Shir Yee [PH-Sandakan] yang membangkitkan isu antaranya berkaitan jumlah permohonan kewarganegaraan yang diproses dan ditolak di Sabah serta tempoh masa untuk pemprosesan permohonan.

Shamsul Anuar berkata, 11,065 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan diterima daripada Sabah bagi tempoh antara 2017 hingga 2022, dengan 481 daripadanya diluluskan.

Dalam pada itu, katanya, fakta dan dokumen bukti dikemukakan pemohon akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.

Jelasnya, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan alasan penolakan berbeza-beza mengikut keperluan kes.

“Secara umum, alasan penolakan adalah seperti disebabkan perkahwinan tidak didaftar, keberadaan subjek tidak jelas kerana gagal membuktikan subjek berada dalam negara, pemohon tiada locus standi untuk membuat permohonan dan maklumat diberikan pemohon meragukan,” katanya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya