Lagu 80-an kekuatan saya - Razis Ismail - Utusan Malaysia

Lagu 80-an kekuatan saya – Razis Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA menjejaki penyanyi era 80-an, Razis Ismail berhasil menerusi perbualan telefon bersama beliau baru-baru ini.

Justeru Razis mengubat rindu peminat, berkongsi jalan hidup lebih tenang sekarang disamping keluarga dan anak-anak.

Nyanyian bukan lagi perkara yang dikejarkan. Tapi itu tidak bermakna penyanyi berasal dari Pulau Pinang ini terus meninggalkan bidang berkenaan.

Katanya, dia masih memenuhi undangan membuat persembahan tetapi tidak seaktif dahulu.

“Ada penganjur yang masih jemput saya menyanyi seperti dalam majlis perkahwinan dan untuk program radio.

“Saya masih aktif, cuma tidaklah menonjol. Saya tidak lagi kejar tawaran nak buat show, kalau ada, saya terima.

“Umur saya sudah meningkat. Sekarang lebih selesa uruskan katering untuk surau berdekatan rumah dan permintaan kawan. Ada kalanya, saya masak.

“Tapi saya berterima kasih kepada pihak penganjur yang masih ingat artis 80-an dan sudi panggil kami membuat persembahan, Alhamdulillah,” kongsinya.

Lebih empat dekad mengumpul pengalaman sebagai penyanyi, Razis atau nama sebenarnya Ghazali Ismail juga bersyukur kerana diberi peluang menyanyikan lagu-lagu yang hari ini membuatkan dia masih diingat dan dikenang peminat.

“Lagu-lagu lama saya yang membuatkan saya masih bertahan. Itulah kekuatan lagu lama yang bersifat nostalgik dan malar segar.

“Orang masih hargai lagu 80-an dan minta saya nyanyikan ketika membuat persembahan. Mereka hargai.

“Stesen radio pada hari ini, seperti Sinar dan Klasik Nasional masih putarkan lagu-lagu 80-an. Itu membuktikan lagu-lagu lama ada nilai yang cukup besar dan sentiasa istimewa di halwa pendengar,” kongsinya.

DARI BILAL KE DUNIA NYANYIAN

Razis ketika usia remajanya aktif menjadi bilal surau di kampungnya di Pulau Pinang. Beliau juga pernah mengetuai kumpulan marhaban dalam persembahan di majlis perkahwinan.

“Saya jadi bilal pada usia 13 tahun pernah menjadi johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat sekolah menengah.

“Minat terhadap nyanyian bermula bermula ketika belasan tahun dan pernah menyertai pertandingan Bakat Pesta Pulau Pinang 1981 bersama Zaiton Sameon.

“Ibu bapa saya tak pernah menghalang minat nyanyian. Malah mereka juga bagi sokongan dan restu kepada saya untuk aktif menjadi penyanyi,” kongsinya.

Terlalu banyak pengalaman berharga yang ditimba Razis sepanjang 41 tahun perjalanan seninya. Antaranya, ketika kali pertama membuat persembahan di Singapura pada 1982.

“Waktu itu saya baru menjadi penyanyi dengan album pertama.

“Pertama kali menjejak kaki ke Singapura adalah pengalaman istimewa kerana sambutan yang diberikan luar biasa walaupun saya penyanyi baru ketika itu,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Razis turut berkongsi pengalaman membuat persembahan di Manila, Filipina sempena ASEAN Song Festival pada 1983.

“Ia juga antara pengalaman menyeronokkan, menjadi wakil Malaysia bersama arwah Noreen Noor berkongsi pentas dengan ramai penyanyi dari seluruh negara ASEAN,” ujarnya.

GUGUP NYANYI DEPAN KENAMAAN

Sering menjadi pilihan untuk membuat persembahan di majlis-majlis dalam istana, Razis anggap peluang itu sebagai rezeki yang ditentukan untuknya.

Akui penyanyi ini, bukan semua penyanyi berpeluang membuat persembahan di hadapan kerabat diraja dan orang kenamaan. Justeru, dia bersyukur atas kesempatan yang diberikan kepadanya.

“Kerjaya sebagai penyanyi membawa saya ke tempat-tempat yang asing buat saya. Pada 1984, saya dijemput ke Brunei untuk membuat persembahan di hadapan Sultan Omar Ali Saifuddien ketiga sempena sambutan kemerdekaan pertama negara itu.

“Saya juga berpeluang membuat persembahan sempena majlis perkahwinan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah bersama barisan penyanyi lain antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

“Memang tak dapat sembunyikan rasa gemuruh kerana ketika itu saya menyanyi di hadapan raja-raja dan orang kenamaan seperti barisan menteri,” kongsinya.

MANGSA CETAK ROMPAK

Selain kenangan indah, Razis juga duji pengalaman hitam yang menduga kesabarannya sebagai manusia biasa.

Antara yang tidak dapat dilupakan adalah ketika album kelimanya, Terserah menjadi sasaran kegiatan cetak rompak dan dijual lebih awal sebelum album tersebut dilancarkan.

“Memang kecewa apatah lagi saya sendiri menyaksikan ia dijual di pasaran sebelum album itu dilancarkan.

“Pengalaman tersebut hampir membuatkan saya putus asa untuk menyanyi. Tapi Alhamdulillah, kesabaran terbalas apabila jualan album itu memberangsangkan meskipun dicetak rompak,” katanya.

 

SENAMAN DAN JAGA MAKAN

Senaman dan kawalan pemakanan menjadi faktor yang membuatkan Razis kekal cergas dan sihat di usia 63 tahun.

Katanya, tiada jalan pintas, sentiasa perlu beringat menjaga kesihatan kerana faktor usia.

“Saya banyak bersenam, sekitar pagi dan petang dengan melakukan brisk walking. Adakalanya saya berlari-lari anak.

“Pada usia sekarang, saya hanya mampu lakukan senaman ringan. Selain itu, saya kawal makan, elak berlebihan. Kalau berat badan naik, rajin-rajin kurangkan makan.

“Ada hari yang saya tak makan nasi. Minuman dan makan manis pun saya sudah tak sentuh. Cuma amalkan minum air panas dan air limau kasturi setiap pagi yang baik untuk kawal kolesterol.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih sihat dan cergas. Umur sudah meningkat, antibodi pun semakin lemah. Sebab itu, saya jaga makan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya