PETALING JAYA: Tanaman cili dengan kaedah fertigasi di tanah keluasan 4.04 hektar di Putrajaya diusahakan di bawah Projek perintis Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerusi komponen Inisiatif Usahawan Tani (Intan).
Perkembangan semasa Fasa 1 itu dikongsikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu hantaran di platform X (dahulu dikenali Twitter), hari ini.
“Seramai 20 peserta dilibatkan untuk mengendalikan 40,000 polibeg cili. Jangkaan hasil adalah sebanyak 100 tan metrik yang akan berikan pulangan sekitar RM2,300 sebulan kepada setiap peserta.
“Semoga peserta Intan dapat menuai hasil yang lumayan dan dapat mengubah kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, IPR dijangkan memanfaatkan 240 peserta menjelang tahun 2025.
Rafizi dilapor berkata, IPR menyasarkan 100,000 penerima pada tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus daripada pemohon mahu terlibat dalam komponen pertanian.
Justeru, ia bakal melibatkan jumlah tanah yang besar dan kementeriannya memerlukan kerjasama dari agensi kerajaan, kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan negeri.-UTUSAN