KUALA PILAH: Pusat agropelancongan, Ladang Alam Warisan yang terletak di Seri Menanti di sini akan ditingkatkan potensinya untuk menjadi gelanggang utama bagi pertandingan memanah berkuda di negara ini.
Pemiliknya, Muhammad Akmal Mohamad Dahlan, 41, berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menjadikan lokasi tersebut sebagai destinasi pertandingan memanah berkuda termasuk bagi peringkat antarabangsa.
“Memang kami mahu jadikan Ladang Alam Warisan ini sebagai lokasi pertandingan antarabangsa bagi memanah berkuda ini.
“Ia termasuk menerusi penganjuran Pertandingan Memanah Berkuda Antarabangsa Piala Malaysia yang akan dijadikan sebagai acara tahunan dan menjemput minimum 20 buah negara yang bertanding kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Pertandingan Memanah Berkuda Antarabangsa Piala Malaysia 2023 yang diadakan bersempena penganjuran Festival Merakyatkan Seni Budaya ‘Olek Godang Seni Budaya’ Warisan Akar Umbi di Ladang Alam Warisan di sini semalam.
Menurut Muhammad Akmal, pada tahun ini, pertandingan yang dianjurkan pihaknya bersama Malaysia Horseback Achery Federation itu berjaya menghimpunkan seramai 80 orang peserta yang bertanding termasuk peserta dari luar negara seperti Thailand, Indonesia, Mongolia, Korea Selatan, Jepun, Australia dan China.
Sementara itu beliau berkata, usaha untuk menjadikan Ladang Alam Warisan sebagai gelanggang memanah berkuda telah dimulakan sejak 13 tahun yang lalu dan kini ia semakin dapat direalisasikan.
“Ia sudah bermula sejak 13 tahun yang lalu dan hari ini baru mula dapat menuaikan hasilnya, kami buat sedikit demi sedikit dan kini masyarakat semakin menerima sukan memanah berkuda ini,” katanya yang turut memberitahu Ladang Alam Warisan mempunyai kemudahan yang diperlukan bagi penganjuran peringkat antarabangsa. – UTUSAN