KYPJ tawar dua program ijazah tahun depan

KYPJ tawar dua program ijazah tahun depan

NORLIZAH NOH (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor, Muhammad Helmi Arrdiansyah Kusnoto (kiri) sambil diperhatikan oleh ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen KPYPJ Ke-24 di Dewan Besar KYPJ, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) kini dalam proses menawarkan dua program ijazah sarjana muda pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program itu ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kulinari dengan kepujian.

” Jika sebelum ini KYPJ meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti perpustakaan dan asrama, pada tahun ini memberi tumpuan untuk memperkasa program-program diplomanya agar sentiasa relevan dengan keperluan pasaran industri serta negara.

“Saya ucapkan tahniah atas usaha kolej ini memperkenal beberapa program baharu seperti Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Pengurusan Pejabat dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang ketika ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Ke-2, Dewan Besar KYPJ, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh dan hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid serta Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abu Bakar Mohamed Salleh.

Pada konvokesyen tersebut, seramai 834 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing, iaitu 594 graduan dari KYPJ manakala 240 orang adalah lulusan Kolej Kemahiran Johor (KKJ).

Dalam pada itu Onn Hafiz berkata, dalam menyahut hasrat kerajaan negeri menjadikan KYPJ berstatus kolej universiti menjelang 2017, institusi pengajian tinggi itu sedang memperkemas peranan dan tanggungjawab di semua bahagian bagi memenuhi keperluan pengurusan sebuah kolej universiti.

“Antaranya, memenuhi beberapa syarat tambahan seperti penawaran kursus-kursus ijazah sarjana muda ke atas selain mempunyai tenaga pengajar yang berkelayakan ijazah sarjana ke atas serta pengambilan penuntut antarabangsa,” katanya.

Menteri Besar turut menyarankan supaya para graduan dan mahasiswa menjadikan kemahiran digital sebahagian daripada kemahiran tambahan bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia pekerjaan global masa kini.

“Ketika ini pengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) antara kriteria yang diambil kira bagi menyertai syarikat automotif elektrik dan telekomunikasi antarabangsa, termasuk syarikat Tesla dan Space X yang akan membuka pejabat, pusat servis dan perkhidmatan komunikasi satelit di negara ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua graduan bahawa perjalanan menimba ilmu tiada noktahnya kerana merupakan proses berterusan bagi membolehkan kekal relevan pada masa depan.

“Oleh itu, saya berharap para graduan KYPJ tergolong sebagai pemilik masa depan yang sentiasa berusaha mengemas kini ilmu dan mampu mendepani apa jua cabaran yang mendatang. Ini kerana budaya ilmu adalah suatu proses dinamik berterusan dan merupakan satu komponen penting dalam proses pembangunan sahsiah diri, organisasi dan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN